
Ketua Polis Daerah Penampang, Mohd Haris Ibrahim berkata, operasi bersepadu ‘Ops Kontraban’ itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah pada jam 3.05 petang.
“Nilai keseluruhan minuman keras dan mercun yang dirampas selepas taksiran cukai ialah RM502,316.
“Tiada tangkapan dilakukan ketika serbuan dan semua barang rampasan diserahkan kepada JKDM Sabah untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Haris berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan barang-barang tidak berkastam.
Sementara itu Mohd Haris berkata, operasi ini dijalankan bersama JKDM Sabah untuk membanteras aktiviti penyeludupan khususnya di kawasan daerah berkenaan.
“Objektif operasi bagi membanteras rangkaian pengedaran serta penjualan rokok seludup dan minuman keras tanpa cukai selain memastikan Penampang bersih daripada menjadi pusat penyimpanan atau stor rokok seludup dan minuman keras tanpa cukai.
“Untuk makluman juga, sepanjang operasi bersepadu bersama JKDM Sabah, kami telah merekodkan sebanyak empat kali serbuan dan rampasan dalam tempoh dua bulan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru supaya masyarakat menyalurkan maklumat sekali gus bersama-sama membanteras aktiviti penyeludupan khususnya di Penampang.