Pasang CCTV elak pokok bunga hiasan dicuri

Pasang CCTV elak pokok bunga hiasan dicuri

Majlis Bandar raya Kuantan (MBK) berkata langkah itu terpaksa diambil bagi memantau kerja penanaman pokok bunga hiasan di sekitar bandar raya itu.

Jalan Wong Ah Jang, Kuantan antara lokasi dilengkapi CCTV oleh Majlis Bandar Raya Kuantan (MBK) bagi memantau kes kecurian pokok bunga hiasan yang berlaku pada Ogos lalu. (Gambar Facebook)
KUANTAN:
Bagi mengelakkan insiden pokok bunga hiasan yang ditanam Majlis Bandar raya Kuantan (MBK) dicuri berulang, sebanyak 10 kamera litar tertutup (CCTV) dipasang pihak berkuasa tempatan (PBT) itu di sekitar bandar raya itu.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal berkata, pemasangan CCTV terpaksa dilakukan selepas kejadian kecurian pokok bunga hiasan sudah berulang kali berlaku hingga menjejaskan usaha MBK mengindahkan pemandangan bandar raya tersebut.

“Terdapat beberapa lokasi strategik dipilih untuk pemasangan CCTV berkenaan dan antara lokasi itu ialah sekitar Taman Tas, Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan dan Jalan Wong Ah Jang.

“Kita harap dengan adanya (pemasangan) CCTV ini, dapat memberi kesedaran kepada pihak tidak bertanggungjawab daripada terus melakukan perkara sama hingga mengakibatkan imej bandar raya Kuantan tercemar kerana kegiatan tidak bermoral ini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pihak MBK pada penghujung Ogos lalu menyedari pokok bunga hiasan ditanam pihaknya di beberapa lokasi sekitar bandar raya hilang, dipercayai dicuri.

Katanya, kehilangan pokok bunga hiasan jenis ‘ixora sunkist’ dianggarkan bernilai RM2,500 itu juga memaksa MBK mengeluarkan peruntukan tambahan bagi menanam semula pokok bunga di kawasan terbabit.

Kuantan menerima status bandar raya pada 20 Februari lalu yang dimasyurkan sendiri oleh Sultan Pahang yang juga Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.