Najib gagal singkir Sri Ram dalam kes pinda laporan audit 1MDB

Najib gagal singkir Sri Ram dalam kes pinda laporan audit 1MDB

Hakim Mahkamah Rayuan mendapati tiada merit dalam rayuan bekas perdana menteri itu.

Najib Razak tidak mahu Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes meminda laporan audit 1MDB.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Najib Razak untuk menggugurkan pendakwa raya ad hoc, Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes meminda laporan audit 1MDB.

Panel tiga hakim yang diketuai Yaacob Md Sam berkata, tiada kesilapan boleh dirayu (appealable) yang dilakukan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan dalam menolak permohonan bekas perdana menteri itu.

“Kami mendapati tiada merit dalam rayuan, oleh itu kami menolak rayuan ini dan perintah Mahkamah Tinggi disahkan,” katanya.

Hakim lain yang menganggotai panel itu ialah Abu Bakar Jais dan Che Mohd Ruzima Ghazali.

Sri Ram, yang juga seorang peguam, dilantik sebagai timbalan pendakwa raya kanan pada Ogos 2018 untuk mengendalikan pendakwaan empat kes jenayah membabitkan Najib.

Yaacob berkata, aduan pertama ialah pelantikan Sri Ram dicemari unsur campur tangan dalam siasatan yang hanya boleh dilakukan agensi berkaitan dan bukannya pendakwa raya serta timbalan pendakwa raya.

Kedua, katanya, Sri Ram dikatakan berat sebelah dan mempunyai konflik kepentingan atas dakwaan perbualan dan mesej teksnya dengan Peguam Negara ketika itu, Mohamed Apandi Ali.

Tahun lalu, Najib memfailkan permohonan untuk menyingkirkan Sri Ram, disokong dua afidavit – satu daripadanya difailkan Najib dan satu lagi oleh Apandi.

Apandi berkata, Sri Ram memberitahunya yang pemimpin pembangkang ketika itu, Dr Mahathir Mohamad mengarahkannya (Apandi) menahan Najib atas kesalahan yang tidak dinyatakan pada Januari 2018.

Najib turut merujuk perbualan WhatsApp antara Sri Ram dan Apandi yang didakwanya menunjukkan sikap berat sebelah dalam meminta Apandi menuduhnya.

Beliau mendakwa Sri Ram terbabit dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkaitan 1MDB yang menyebabkan beliau membuat penilaian awal atas perkara itu.

Najib, 68, dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, 45, sedang dibicarakan di hadapan Zaini atas tuduhan meminda laporan audit 1MDB.

Bekas perdana menteri itu didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan laporan audit akhir 1MDB, sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara di Parlimen bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil ke atasnya.

Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan terhadap laporan itu untuk melindungi Najib dikenakan tindakan.

Terdahulu, peguam Muhammad Shafee Abdullah hari ini berhujah yang pendakwa raya, yang juga bekas peguam negara, serta timbalan pendakwa raya tidak boleh terbabit dalam siasatan agensi penguatkuasaan undang-undang.

“Bagaimanapun, surat pelantikan Sri Ram menyatakan beliau turut mengetuai siasatan aktiviti penipuan dalam 1MDB.”

Katanya, Sri Ram dan seorang lagi peguam pergi ke rumah Apandi sebelum pilihan raya umum pada 9 Mei 2018, yang menyebabkan pertukaran kerajaan, dan kemudiannya menghantar mesej pada 12 Mei 2018.

“Sama ada Sri Ram bersikap berat sebelah dan mempunyai konflik kepentingan perlu dilihat dari perspektif orang awam. Sama ada Najib akan mendapat perbicaraan adil perlu ditentukan dari persepsi orang ramai,” kata Shafie yang dibantu Nur Syahirah Hanapiah.

Sri Ram berkata, pertemuan dan pertukaran pesanan teks itu adalah perkara peribadi dengan Apandi kerana mereka berdua pernah menjadi hakim.

Beliau berkata, surat pelantikannya tidak menyatakan beliau terbabit dalam siasatan.

“Persepsi salah itu timbul susulan kenyataan media Peguam Negara ketika itu (Tommy Thomas).”

Sri Ram berkata, mahkamah perlu memutuskan sama ada pihak pendakwaan sudah membuktikan kesnya berdasarkan bukti meyakinkan.

“Setiap timbalan pendakwa raya berat sebelah kerana mereka mewakili kepentingan awam. Shafee juga berat sebelah kerana beliau perlu menjaga kepentingan Najib.”

Sri Ram, yang dibantu Ahmad Akram Gharib dan Mohamed Mustaffa Kunyalam, berkata Najib sudah memfailkan pelbagai permohonan palsu untuk menangguhkan perbicaraannya di Mahkamah Tinggi.

Februari lalu, Zaini memutuskan permohonan Najib tidak berasas dan tiada merit kerana seperti orang lain, Sri Ram berhak mempunyai pandangan peribadinya.

“Namun, pertimbangan berbeza akan dibuat, jika beliau menunjukkan sikap berat sebelah semasa melaksanakan tugas sebagai pendakwa raya kanan,” kata hakim itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.