MAQIS rampas 1,000 lipan hidup diseludup dari Indonesia

MAQIS rampas 1,000 lipan hidup diseludup dari Indonesia

Percubaan membawa masuk lipan dianggarkan bernilai RM1,750 adalah pertama kali dilakukan.

Lelaki warganegara Indonesia memberi alasan menyeludup lipan berkenaan untuk dijadikan makanan ikan.
PETALING JAYA:
Seorang penumpang feri dari Indonesia didapati membawa bungkusan berisi kira-kira 1,000 ekor lipan dari Batam, Indonesia di Terminal Feri Stulang Laut, Johor Bahru semalam.

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor dalam kenyataan berkata, ketika membuat pemeriksaan di pintu keluar negara di terminal feri berkenaan pada pukul 1 petang, mereka menemui lipan hidup dalam bungkusan dibawa lelaki berusia 30-an itu.

Menurut MAQIS, percubaan membawa masuk lipan dianggarkan bernilai RM1,750 adalah pertama kali dilakukan dan lelaki terbabit mendakwa serangga itu untuk dijadikan makanan ikan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana mengimport tanpa permit, lesen atau perakuan yang dikeluarkan.

Jika disabitkan kesalahan suspek didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.