Jangan komen kes rasuah Zahid di media sosial, Mahkamah Tinggi beri amaran

Jangan komen kes rasuah Zahid di media sosial, Mahkamah Tinggi beri amaran

Anak perempuan bekas timbalan perdana menteri itu telah memadam hantaran di Instagram berhubung kes bapanya selepas Hakim Hakim Collin Lawrence Sequerah mengeluarkan amaran kepada orang ramai.

Nurulhidayah Zahid memadam hantaran di Instagram mengenai kes rasuah bapanya selepas hakim memberi amaran kepada orang ramai untuk tidak berbuat demikian. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi mengingatkan orang ramai untuk tidak mengulas kes rasuah bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi di media sosial kerana kes terbabit masih lagi berjalan.

Hakim Collin Lawrence Sequerah mengeluarkan amaran itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran memberitahu mahkamah bahawa anak perempuan Zahid, Nurulhidayah telah memuat naik hantaran mengenai kes terbabit di akaun Instagram.

“Dia dan orang lain tidak patut memberi komen mengenai kes ini,” katanya.

Sequerah yang memberi maklum balas berkata: “Mahkamah perlu mengeluarkan amaran bahawa tindakan ini secara hakikatnya adalah subjudice. Komen seperti itu tidak sepatutnya dibuat ketika kes masih berjalan.”

Peguam Zahid, Hamidi Mohd Noh memohon maaf kepada mahkamah dan menjelaskan Nurulhidayah akan memadam hantaran Instagram itu.

Tinjauan di akaun Instagramnya mendapati hantaran itu telah dipadam dan dia turut memuat naik permohonan maaf dengan mengatakan “perkara itu tidak akan berulang”.

Zahid dihadapkan ke mahkamah atas 47 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah dana milik Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah untuk beberapa projek ketika menjadi menteri dalam negeri.

Mahkamah ketika ini mendengar hujahan akhir pasukan pembelaan pada akhir kes pendakwaan minggu ini manakala pasukan pendakwaan pula dijangka berbuat demikian minggu hadapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.