Gabungan aktivis alam sekitar gesa tarik semula nyahwarta HSKLU

Gabungan aktivis alam sekitar gesa tarik semula nyahwarta HSKLU

Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (GHSKLU) percaya tiada individu akan menentang keputusan 'pusingan U' itu.

Jurucakap Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (GHSKLU) Shaq Koyok (paling kanan) berkata, kerajaan negeri boleh bekerjasama dengan komuniti Orang Asli untuk melindungi ekosistem hutan simpan itu.
SHAH ALAM:
Gabungan Pertahankan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (GHSKLU) menuntut agar kerajaan Selangor menarik semula keputusan menyahwartakan 536.7 hektar HSKLU dengan serta-merta.

Wakil masyarakat Orang Asli HSKLU, Shaq Koyok mendakwa sesi pendengaran awam mengenai penyahwartaan yang diadakan pada Nov lalu dilaksanakan secara tergesa-gesa, di mana notis makluman hanya diberikan empat hari sebelum sesi itu.

Katanya, ia menyebabkan ramai komuniti Orang Asli tidak dapat menyertainya.

“Tempat yang ditetapkan juga agak jauh iaitu di Pulau Carey, dan ia menyukarkan kami untuk ke sana.

“Masih belum terlambat untuk menyelamatkan hutan yang masih ada, dan saya percaya tiada individu yang akan menentang keputusan pusingan “U” berkenaan,” katanya.

Terdahulu beliau bersama beberapa wakil NGO menyerahkan memorandum dan penyerahan “Poskad Dari Esok” kepada Menteri Besar Selangor supaya membatalkan penyahwartaan HSKLU.

Beliau mendakwa bantahan daripada komuniti Orang Asli terhadap kerajaan negeri sejak Feb dibalas dengan pelbagai ugutan termasuk rumah mereka akan dibakar dan tanah kampung sedia ada akan dirampas jika terus menentang.

“Beberapa ketua kampung ditekan untuk menandatangani satu surat yang membuktikan mereka menarik sokongan sekiranya kampung mereka diwartakan semula sebagai rizab Orang Asli.

“Bagaimanapun, ketua kampung dan komuniti Orang Asli masih meneruskan bantahan penyahwartaan hutan berkenaan sejak 18 bulan lalu,” katanya.

Pada sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian memaklumkan kerajaan negeri meluluskan penyahwartaan 536.7 hektar HSKLU pada 5 Mei lalu.

Bagaimanapun, pengumuman berkenaan mengejutkan pelbagai pihak dan Presiden PKR Anwar Ibrahim sendiri sudah mengarahkan Menteri Besar Selangor yang juga Pengerusi PKR negeri Amirudin Shari, memperjelas tindakan penyahwartaan HSKLU kepada pucuk pimpinan parti berkenaan.

Wakil aktivis alam sekitar, Ili Nadiah (tengah) berkata, kerajaan negeri perlu berhenti mengeluarkan sebarang dakwaan palsu bagi menyokong tindakan penyahwartaan berkenaan.

Selain itu, kumpulan penyokong Anwar, Otai Reformis dan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Alam Sekitar (COEN) melahirkan rasa terkejut dan kecewa dengan keputusan kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang bersetuju menyahwartakan 536.7 hektar hutan berkenaan, untuk dibangunkan.

Setiausahanya, Abdul Razak Ismail berkata kelulusan itu seolah-olah kerajaan negeri tidak mengambil serius bantahan lebih 50,000 rakyat termasuk masyarakat tempatan, Orang Asli dan NGO alam sekitar.

Sementara itu, seorang lagi wakil aktivis alam sekitar Ili Nadiah berkata, kerajaan negeri perlu berhenti mengeluarkan sebarang dakwaan palsu bagi menyokong tindakan penyahwartaan berkenaan.

Katanya, antara dakwaan palsu yang dibuat termasuk hutan simpan berkenaan sering terbakar; menyahwartakan dan membangunkan kawasan itu adalah langkah terbaik bagi membendung kebakaran dan komuniti Orang Asli menyokong penyahwartaan hutan tersebut.

Hakikatnya, beliau berkata, tiada kebakaran besar berlaku sejak lima tahun lalu.

Nadiah menjelaskan, kebakaran besar hanya berlaku pada 2014 dan 2016 dan sebanyak 10,000 pokok ditanam semula yang sebahagiannya adalah dengan kerjasama antara penduduk Orang Asli dan Jabatan Perhutanan.

“Lebih 300ha tersebut yang terkesan dengan kebakaran semakin pulih dengan tumbuhnya semula pokok bersaiz sederhana dan tinggi,” katanya.

Gabungan Pertahan HSKLU itu dianggotai 15 NGO termasuk Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera, Sahabat Alam Malaysia dan Persatuan Aktivis Sahabat Alam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.