Pendakwaan terdahulu lebih menjurus kepentingan politik, kata pemantau SPRM selepas 29 tuduhan bekas ahli lembaga pengarah Felda ditarik balik

Pendakwaan terdahulu lebih menjurus kepentingan politik, kata pemantau SPRM selepas 29 tuduhan bekas ahli lembaga pengarah Felda ditarik balik

Lembaga penasihat pencegahan rasuah berkata 'kes diambil tindakan ketika itu tidak telus dan tidak profesional lebih menjurus kepada kepentingan politik'.

Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashi dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 21 Mei lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pengurusan dan pentadbiran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada awal Februari 2019 dibuat tanpa pertimbangan menyeluruh, malah dipengaruhi politik, susulan penarikan balik kes terhadap bekas ahli lembaga pengarah Felda, Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid minggu lalu, kata lembaga penasihat badan itu.

Malah, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang, berkata terdapat elemen kekurangan dalam siasatan serta keputusan pendakwaan ketika itu oleh peguam negara.

“Oleh kerana sesuatu kes diambil tindakan ketika itu tidak telus dan tidak profesional, lebih menjurus kepada kepentingan politik (ia) telah menyebabkan pengurusan SPRM yang ada sekarang terpaksa menanggung implikasinya,” katanya dalam kenyataan.

Pendirian LPPR itu dibuat selepas ia mendapatkan pandangan ketua pesuruhjaya SPRM dan pengarah kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, selepas pihak pendakwaan dilaporkan menarik balik 29 pertuduhan rasuah terhadap Ehsanuddin minggu lalu.

“LPPR berpandangan terdapat elemen-elemen kekurangan dalam siasatan serta keputusan pendakwaan pada awal Februari 2019 oleh peguam negara serta pengurusan dan pentadbiran SPRM ketika itu dibuat tanpa pertimbangan yang menyeluruh,” kata beliau.

Pertuduhan terhadap Ehsanuddin itu ditarik balik selepas SPRM menjalankan siasatan lanjut berhubung pernyataan pembelaan yang dikemukakan beliau.

Menerusi keterangan baharu dikemukakan itu, SPRM berkata “tertuduh berjaya membuktikan beliau telah membayar balik wang yang didakwa sebagai rasuah itu sebelum siasatan dimulakan”.

“Saya dan semua ahli jawatankuasa LPPR SPRM tidak mahu SPRM dipolitikkan oleh mana-mana pihak. Segala kesilapan dan kelemahan yang berlaku dahulu, kita tidak mahu terus berulang.

“Prinsip ‘check & balance’ yang diamalkan sekarang hendaklah dilaksanakan dengan bijak, telus dan bertanggungjawab serta penuh integriti,” kata Abu Zahar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.