Usul undi percaya terhadap PM tiada dalam agenda Dewan Rakyat, dedah Ahli Parlimen

Usul undi percaya terhadap PM tiada dalam agenda Dewan Rakyat, dedah Ahli Parlimen

Hanya tiga usul dibawa sepanjang 18 hari sidang yang bermula 13 Sept, dan ini tidak termasuk usul undi percaya, kata Fahmi Fadzil.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil hari ini mendedahkan di Twitter Aturan Urusan Mesyuarat Pertama, Penggal ke-4 Dewan Rakyat ke-14 yang diterimanya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil mendedahkan bahawa tiada usul undi percaya terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat pada 13 Sept hingga 12 Okt ini.

“Baru terima aturan urusan mesyuarat @MYParlimen, soalan pertama pada 14 Sept oleh Jempol (Salim Sharif) diikuti Port Dickson (Anwar Ibrahim),” katanya menerusi ciapan di Twitter yang turut melampirkan beberapa muka surat dokumen Aturan Urusan Mesyuarat Pertama, Penggal ke-4 Dewan Rakyat ke-14.

Katanya, hanya tiga usul dibawa sepanjang 18 hari sidang, iaitu memilih Timbalan Speaker, memerintahkan Ketua Polis Negara tidak menghalang Ahli Parlimen masuk ke bangunan berkenaan dan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.

“Tiada usul (undi) percaya terhadap PM9 @IsmailSabri60,” katanya.

Menurut Istana Negara pada 18 Ogos, Yang di-Pertuan Agong bertitah: “Perdana Menteri yang telah dilantik oleh baginda menurut Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat”.

Bagaimanapun Peguam Negara Idrus Harun mencetuskan polemik berhubung isu undi percaya di Parlimen dengan menyatakan “tiada keperluan” untuk mengabsahkan pelantikan perdana menteri dan kerajaan yang dibentuk baru-baru ini.

Katanya, pelantikan perdana menteri dan pembentukan kerajaan yang dibuat sebelum ini adalah mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.