Pemandu Proton Preve rempuh motosikal akibatkan 3 maut mengaku tak salah

Pemandu Proton Preve rempuh motosikal akibatkan 3 maut mengaku tak salah

Tertuduh, A R Sathiya Ganes, 38, membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai.

Tertuduh yang memandu bersama dua lagi rakannya dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh enam motosikal.
PETALING JAYA:
Seorang jurujual kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seri Manjung atas pertuduhan menyebabkan kematian tiga lelaki dalam kemalangan di Sitiawan, Perak bulan lalu.

Tertuduh, A R Sathiya Ganes, 38, membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan majistret Nurul Izalina Rajaai, menurut laporan Harian Metro.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kilometer (KM) 4, Jalan Kampung Acheh-Sitiawan pada 21 Ogos lalu.

Dia didakwa memandu secara berbahaya dan merempuh enam motosikal hingga menyebabkan kematian penunggang motosikal, Mohd Suhail Zainal, 22, pembonceng, Hasrandy Bahrum, 27, dan seorang lagi penunggang motosikal, Mohd Nur Hisham Hassan, 29.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000 jika disabit bersalah.

Sementara itu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam tubuhnya.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 untuk setiap pertuduhan menyebabkan kematian dan RM2,000 untuk pertuduhan dadah dengan seorang penjamin.

Kes akan disebut semula pada 1 Okt depan untuk penyerahan dokumen dan keputusan ujian kimia.

Terdahulu, media melaporkan dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, tertuduh yang memandu bersama dua lagi rakannya dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh enam motosikal.

Kemalangan itu turut menyebabkan tiga lelaki maut di tempat kejadian manakala empat penunggang motosikal dan dua penumpang kereta Proton Preve itu cedera parah dan dirawat di Hospital Seri Manjung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.