Jalin kerjasama dengan syarikat teknologi gergasi untuk atasi isu kabotaj, saran Leiking

Jalin kerjasama dengan syarikat teknologi gergasi untuk atasi isu kabotaj, saran Leiking

Bekas menteri itu berkata, dengan cara ini, syarikat di Malaysia dapat pelajari teknologi dan kemahiran.

PETALING JAYA:
Putrajaya harus menggalakkan syarikat tempatan bekerjasama dengan syarikat teknologi gergasi jika kerajaan masih mahu mengekalkan penarikan semula pengecualian kabotaj, kata seorang bekas menteri persekutuan.

Darell Leiking berkata, menyusun pendekatan kolaboratif antara syarikat asing dan tempatan dapat memberi manfaat kepada negara dalam banyak cara.

Dasar pengecualian kabotaj, yang diluluskan pada Jun 2017, membolehkan kapal asing menjalankan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kabel dasar laut dengan sekatan minimum. Ia dibatalkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Baru-baru ini, Google, Microsoft, Facebook dan syarikat lain menulis surat kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk meminta pengecualian berkenaan dikembalikan yang mempengaruhi penggunaan kapal di Laut China Selatan untuk meletakkan kabel dasar laut bagi internet.

Darell Leiking.

Leiking berkata, Putrajaya patut menggalakkan syarikat teknologi tempatan dan asing bekerjasama dalam penyelenggaraan, pembaikan dan servis kabel dasar laut yang diletakkan oleh syarikat seperti Google, Amazon dan Facebook.

“Buat perjanjian dengan syarikat ini untuk menjalin kerjasama dengan badan di Malaysia. Dengan cara ini kita dapat mempelajari teknologi dan kemahiran mereka,” kata Leiking, yang memegang portfolio Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Katanya, Putrajaya harus menyerahkan autonomi kepada Sabah untuk memutuskan penggunaan pelantar benua berkenaan, khususnya “siapa yang berhak melintas”.

“Kita akan dapat memberi perkhidmatan buat Australia, New Zealand dan Filipina jika kabel dasar laut melewati pelantar benua kita,” katanya.

Leiking, yang juga timbalan presiden Warisan, menyeru agar Akta Laut Wilayah dimansuhkan dan Akta Pelantar Benua dipinda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.