Isu nyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara, Anwar yakin MB ambil tindakan selaras dasar parti

Isu nyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara, Anwar yakin MB ambil tindakan selaras dasar parti

Presiden PKR itu memaklumkan, pihaknya sudah mendapatkan penjelasan menteri besar Selangor itu berhubung keputusan kerajaan negeri itu.

Anwar Ibrahim berkata, pihaknya percaya menteri besar dan kerajaan negeri akan mengambil tindakan selaras dengan dasar parti terkait pengekalan dan pemeliharaan alam sekitar dan hutan simpan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Presiden PKR Anwar Ibrahim yakin bahawa Menteri Besar Selangor Amirudin Shari akan mengambil tindakan yang selaras dengan dasar parti berhubung isu pengekalan dan pemeliharaan alam sekitar serta hutan simpan.

Anwar memaklumkan, parti juga sudah mendapatkan penjelasan dari menteri besar Selangor itu berhubung dakwaan kerajaan negeri telah melakukan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU), Mei lalu.

“Saya percaya menteri besar dan kerajaan negeri akan mengambil tindakan yang selaras dengan dasar parti terkait pengekalan dan pemeliharaan alam sekitar dan hutan simpan.

“Dan pada dua hari selepas itu, saudara Amiruddin Shari juga telah bertemu dengan saya untuk perbincangan lanjut terkait hal yang sama,” katanya di Facebook.

Beliau yang juga ketua pembangkang bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci intipati pertemuan itu.

Isnin lalu, Exco Alam Sekitar dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian memaklumkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bersetuju menyahwartakan HSKLU bagi tujuan pembangunan.

Menurutnya, jumlah keluasan yang dipersetujui itu adalah sebanyak 5,36.7ha daripada rancangan asal iaitu seluas 930ha selepas mempertimbangkan bantahan awam.

Bagaimanapun, Anwar berkata, kepimpinan PKR sejak tahun lalu telah memaklumkan kepada Amirudin untuk membatalkan tindakan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.