
Beliau berkata ini berikutan rata-rata murid sekolah belum menerima suntikan vaksin Covid-19 dan kadar jangkitan virus itu juga masih tinggi.
“Ini melibatkan soal keselamatan anak-anak dan warga pendidik kita.
“Jangan sesekali mengambil risiko yang kita tidak pasti. Tidak perlu terburu-buru sekali lagi. Elakkan kesilapan lama berulang,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu Zahid berkata banyak perkara yang masih perlu diperhalusi oleh kerajaan sebelum membenarkan pembukaan sekolah secara bersemuka.
Beliau berkata SOP yang diperketatkan juga tidak menjamin keberkesanan dalam melindungi pelajar sekolah.
“Perlu ingat pada 26 April 2021 Kementerian Kesihatan memaklumkan seramai 23,739 pelajar bawah umur 12 tahun telah dijangkiti Covid-19.
“Berdasarkan data itu Kementerian Kesihatan mengaku betapa mudah kes ditularkan di sekolah akibat pergaulan sedangkan dilaksanakan pelbagai SOP.
“Pada ketika itu kes jangkitan harian di seluruh negara cuma sekitar 2,000 lebih. Pada hari ini jangkitan harian lebih 18,000 kes dan masih belum menunjukkan penurunan,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin mengesahkan sesi persekolahan secara bersemuka akan tetap dilaksanakan pada 3 Oktober ini.
Bagaimapun, jelas beliau, sesi berkenaan tidak akan melibatkan negeri-negeri yang masih berada di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Untuk rekod, negeri-negeri yang masih berada dalam Fasa 1 PPN ialah Kedah, Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Sebelum ini juga, Radzi menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa sesi persekolahan secara bersemuka yang sepatutnya kembali dibuka 1 September lalu, ditangguhkan ke 3 Oktober.
Setakat 30 Ogos, Kementerian Kesihatan melaporkan 41 kematian akibat Covid-19 membabitkan mangsa di bawah umur 17 tahun berbanding enam kes pada tahun lalu.
Kementerian berkata dalam tempoh tahun ini, sebanyak 15 kematian dilaporkan membabitkan mangsa kanak-kanak berusia sehingga empat tahun.