
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Basri Sagoni, berkata resit itu dirampas bagi membantu siasatan selepas suspek berusia 39 tahun digelar “Sittah Annur” ditahan di rumahnya 1.10 pagi tadi.
Beliau berkata, selain itu polis turut merampas lima telefon bimbit, satu kad bank dan sepasang telekung putih dipercayai digunakan suspek untuk membuat siaran secara langsung menerusi Facebook.
“Polis setakat ini menerima enam laporan dengan lima daripadanya dibuat di lima balai polis berbeza berkaitan isu terbabit.
“Suspek sebelum ditahan ada membuat laporan polis menafikan dan menyatakan tidak pernah mewujudkan kumpulan ajaran sesat atau apa-apa kumpulan serta ajaran bertentangan Islam.
“Dia juga menafikan semua tuduhan, termasuk tindakan yang boleh mengancam keselamatan negara,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Mengenai laporan polis, beliau berkata, satu laporan dibuat seorang lelaki berusia 28 tahun berkaitan video itu yang didakwa mengandungi kenyataan menghina Islam dan menimbulkan keresahan awam pada 3.39 petang, 29 Ogos lalu.
Katanya, sehari sebelum itu pengadu mendakwa melihat video di YouTube bertajuk “Mimpi Perang Dunia (Bertemu Rasulullah) Part 1” menerusi akaun YouTube Cahaya Islam memaparkan seorang wanita bercakap mengenai mimpi kejadian Perang Dunia Ketiga (WW3) yang akan berlaku di Sabah.
“Video berdurasi sejam 11 minit tiga saat itu dimuat naik pada 30 Januari lalu di YouTube dan mendapat 50,000 tontonan, 908 tanda suka, 97 tanda tidak suka dan 511 komen. Cahaya Islam kini direkodkan mempunyai 2,380 langganan (subscribers).
“Pengadu turut membuat carian di Facebook dan mendapati wanita itu mengaku sebagai ketua ajaran PYMT, aktif memuat naik video di Facebook dan YouTube menceritakan perihal peperangan dunia ketiga di laman sosial,” katanya.
Basri berkata, siasatan awal mendapati wanita berkenaan mendakwa dirinya boleh berhubung terus dengan Allah, malaikat dan Nabi Muhammad.
Katanya, suspek juga mengaku sebagai ketua PYMT dan mendakwa mimpi perjalanan terakhir diturunkan kepada dirinya sebagai panduan untuk umat Islam lain.
“Dalam video itu juga menyatakan sesiapa yang menyakiti atau menghalang dirinya menyampaikan ajaran boleh dicabut nyawa oleh Allah.
“Kenyataan dalam video ini boleh dianggap menghina kesucian Islam dan menimbulkan keresahan awam,” katanya.
Suspek direman empat hari hingga Selasa ini mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 masing-masing kerana menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan serta penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.