Polis panggil semula 7 aktivis #Lawan, lebih sejam ambil keterangan

Polis panggil semula 7 aktivis #Lawan, lebih sejam ambil keterangan

Tujuh aktivis berkenaan dipanggil ke IPD Dang Wangi pada pukul 10 pagi tadi bagi memberikan keterangan tambahan berhubung siasatan berkaitan hasutan.

Abdullah Alshatry berkata semua telefon bimbit mereka telah dirampas oleh polis.
KUALA LUMPUR:
Polis sekali lagi memanggil dan menyiasat aktivis Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) berhuhung himpunan protes kedua #Lawan yang telah dibatalkan.

Tujuh aktivis berkenaan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada pukul 10 pagi tadi bagi memberikan keterangan tambahan berhubung siasatan berkaitan hasutan.

Mereka yang dipanggil Amir Abdul Hadi, Mohammad Asraf Sharafi Mohammad Azhar, Mohamad Abdullah Alshatry, Qyira Yusri, Tharmalinggam Pillai, Dobby Chew, dan Sarah Irdina, dilihat keluar dari IPD Dang Wangi pada 11.35 pagi tadi selepas lebih sejam disoal siasat.

Salah seorang aktivis diambil keterangan itu, Mohamad berkata, semua telefon bimbit mereka telah dirampas oleh polis dan tidak pasti sama ada akan ditahan polis atau tidak selepas ini.

Sementara itu, aktivis Asraf menyifatkan siasatan ke atas tujuh aktivis berkenaan sebagai membuang masa dan tenaga semua pihak.

Beliau berkata SSR mengutuk sekeras-kerasnya penggunaan Akta Hasutan terhadap mereka dan menggesa Akta Hasutan dimansuhkan segera.

“Sekretariat Solidariti Rakyat menggesa polis tidak menjadi ‘pak turut’ kepada menteri yang tidak berkompeten tetapi lancang menyalahgunakan undang-undang bagi menutup kelemahan mereka dengan menutup mulut anak muda yang menegur mereka,” katanya di hadapan IPD Dang Wangi selepas selesai memberi keterangan kepada polis.

Pada 13 Ogos lalu, tujuh aktivis SSR telah dipanggil pihak polis berkaitan peranan mereka dalam merancang demonstrasi kedua #Lawan pada 21 Ogos lalu.

Demonstrasi kedua itu susulan himpunan pertama pada Julai bagi menuntut perdana menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.

Protes kedua itu bagaimanapun dibatalkan setelah Muhyiddin meletakkan jawatan pada 16 Ogos.

Aktivis terbabit disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 kerana menerbitkan kandungan menghasut dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan dan perkhidmatan rangkaian.

Sebelum ini, SSR yang menganjurkan bantahan #Lawan di Kuala Lumpur pada 21 Julai lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.