Isu pingat emas ditarik balik, kerajaan tidak ambil tindakan ‘merugikan’, kata Faizal

Isu pingat emas ditarik balik, kerajaan tidak ambil tindakan ‘merugikan’, kata Faizal

Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu berkata demikian susulan jurulatih Faizol Harun semalam mengambil tanggungjawab atas insiden yang berlaku.

Selasa lalu Muhammad Ziyad, 31, memenangi pingat emas selain mencipta rekod dunia, namun kemenangannya dibatalkan kerana lewat memasuki bilik menunggu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jurulatih jaguh lontar peluru negara, Faizol Harun, tidak akan dikenakan sebarang bentuk tindakan merugikan negara susulan kemenangan pingat emas Muhammad Ziyad di Tokyo ditarik balik.

Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu, berkata kerajaan tidak akan mengambil tindakan yang akan merugikan dalam menyelesaikan isu membabitkan insiden berkenaan.

“Apabila bercakap mengenai tanggungjawab, saya sebagai menteri belia dan sukan termasuk pihak lain dalam Majlis Sukan Negara (MSN) juga perlu bertanggungjawab.

“Walaupun jurulatih Muhammad Ziyad, Faizol Harun mengaku dan mengambil tanggungjawab atas insiden yang berlaku, adakah dengan menghukum seseorang jurulatih yang telah berjaya mencungkil bakat ke peringkat antarabangsa sehingga tidak boleh melatih atlet itu mencukupi.

“Ia tidak akan menguntungkan negara, jadi saya rasa biarlah tindakan itu bukan merugikan negara dan atlet itu sendiri,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Semalam, Faizol berkata dia mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku terhadap anak didiknya yang terlepas pingat emas bagi acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran).

Selasa lalu Ziyad, 31, berjaya mempertahankan pingat emas, selain mencipta rekod dunia dengan lontaran sejauh 17.94m.

Bagaimanapun, kem Ukraine dan Greece mengemukakan bantahan terhadap Ziyad bersama atlet Australia, Todd Hodgetts dan Jordi Patricio (Ecuador) kerana lewat memasuki bilik menunggu sekali gus ketiga-tiga atlet itu diklasifikasikan sebagai DNS (did not start – tidak bermula).

Mengulas lanjut, Faizal berkata beliau sangat memahami keresahan yang timbul dalam kalangan rakyat berhubung insiden berkenaan sehingga menyebabkan negara kehilangan pingat emas kedua dalam kejohanan sukan itu.

Katanya, pengajaran harus diambil terhadap insiden itu dan setiap pihak perlu menambah baik tanggungjawab diamanahkan agar ia tidak berlaku pada masa depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.