‘Saya bertanggungjawab, tak timbul isu sabotaj’, kata jurulatih Ziyad

‘Saya bertanggungjawab, tak timbul isu sabotaj’, kata jurulatih Ziyad

Mohd Faizol Harun berkata, ia mungkin kebetulan disebabkan kesilapan teknikal sambil mengakui beliau dan anak buahnya tiba tepat pada masanya untuk melaporkan diri.

Muhammad Ziyad Zolkefli bersama jurulatihnya, Mohd Faizol Harun tiba di KLIA hari ini.
SEPANG:
Jurulatih lontar peluru para negara, Mohd Faizol Harun mengambil tanggungjawab sepenuhnya ke atas insiden pembatalan pingat emas dimenangi jaguh lontar peluru kebangsaan, Muhammad Ziyad Zolkefli di Paralimpik Tokyo 2020.

Faizol berkata, sebagai jurulatih beliau adalah individu paling dekat dengan Ziyad sepanjang temasya itu.

“Kepada semua pihak yang mencari siapa bersalah dan tidak bersalah dalam hal ini, saya selaku jurulatih kepada Ziyad, orang yang dekat dengan Ziyad, saya bertanggungjawab atas apa yang berlaku.

“Jangan menuding jari dekat orang lain,” katanya pada sidang media sambutan kepulangan kontinjen Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Beliau berkata, tidak timbul isu sabotaj terhadap Ziyad, sebaliknya ia mungkin kebetulan disebabkan kesilapan teknikal sambil mengakui beliau dan anak buahnya tiba tepat pada masanya untuk melaporkan diri.

Selasa lepas, Ziyad, 31, dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) dengan catatan lontaran sejauh 17.94m yang juga rekod dunia baharu.

Beliau diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak memulakan saingan, susulan protes pasukan Ukraine yang mendakwa Ziyad lewat melaporkan diri di bilik menunggu sebelum pertandingan bermula.

Kontroversi pada hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval diumumkan sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m, sekali gus memecahkan rekod dunia milik Ziyad sejauh 17.29m di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Pada masa sama, Faizol berkata, beliau tidak mempunyai bukti menunjukkan Ziyad tiba pada waktunya di bilik menunggu tersebut memandangkan sebarang rakaman video atau gambar tidak dibenarkan.

“Kita sampai pada masa dan di situ masih ada jurulatih Ukraine, saya tak tahu kenapa dia berada situ, patutnya macam saya lepas hantar Ziyad, saya pergi masuk tempat pertandingan, sebab kita tahu dia dah sampai di situ dan selamat.”

Menceritakan kronologi kejadian, Mohd Faizol berkata beliau dan Ziyad tiba di kawasan pemanas badan (warm up area) berdekatan Stadium Olimpik Tokyo pada jam 4.15 petang sebelum anak buahnya mula memanaskan badan dari jam 4.45 petang sehingga 5.30 petang.

Usai memanaskan badan,15 minit diambil untuk mempersiapkan Ziyad termasuk memberikan urutan selepas anak buahnya mengadu otot terasa tegang sebelum mereka mula berjalan menuju ke venue pertandingan tepat jam 5.45 petang, katanya.

“Kita dah buat kiraan daripada ‘warm up track’, sampai dekat bilik menunggu lebih kurang kalau jalan biasa ambil masa lapan hingga 10 minit, kalau cepat mungkin dalam lima hingga enam minit, dan kita berjalan dalam keadaan yang tidak tergesa-gesa.

“Di depan kami ada atlet Greece yang jaraknya dalam empat hingga lima meter saja, bila sampai dia (atlet Greece) boleh masuk, kami pula kena tahan, bila tengok masa 5.55 petang. Sepatutnya masih boleh masuk,” jelasnya.

Katanya, rayuan berkali-kali untuk dibenarkan Ziyad masuk ke bilik menunggu tidak diendahkan penolong pengadil di situ, malah pada masa sama pegawai berkenaan menguruskan kemasukan atlet lompat tinggi sebelum akhirnya mengatakan beliau dan anak buahnya telah lewat sambil menunjukkan jam tepat jam 5.56 petang.

Bagaimanapun, katanya kemudian Ziyad akhirnya dibenarkan masuk selepas berlaku perbincangan antara ketua pengadil dan jurulatih Ukraine.

“Selepas itu saya masuk stadium dan Ziyad bertanding. Lepas lontaran ketiga saya dimaklumkan oleh pegawai yang Ziyad diklasifikasikan sebagai DNS (tidak bermula). Kalau kita tahu awal, sudah tentu saya takkan biarkan Ziyad bertanding,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.