PERKESO serah bantuan kepada balu pengawal keselamatan maut dibelasah

PERKESO serah bantuan kepada balu pengawal keselamatan maut dibelasah

Balu kepada S Thava Sagayam turut menerima bayaran bulanan RM1,143.90 untuk seumur hidup.

Dalam kejadian 29 Disember tahun lalu, Thava Sagayam, 64, diserang seorang lelaki hingga terlantar lapan bulan, selain menjalani lapan pembedahan di kepala dan akhirnya meninggal dunia pada 27 Ogos lepas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Balu pengawal keselamatan yang maut selepas lapan bulan terlantar akibat diserang seorang lelaki Disember lalu, menerima bayaran faedah PERKESO berjumlah RM12,737.32.

Selain menerima faedah hilang upaya sementara (FHUS), balu mendiang, E Philomena, 59, juga layak menerima faedah pengurusan mayat berjumlah RM2,000 dan faedah orang tanggungan sebanyak RM1,143.90, yang akan dibayar secara bulanan seumur hidup.

Pembayaran itu berikutan mangsa, S Thava Sagayam, 64, adalah orang berinsurans (OB) dengan PERKESO dan mencarum mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

Philomena menerima cek pembayaran faedah berkenaan yang disampaikan Menteri Sumber Manusia M Saravanan, di rumahnya di Taman Buntong Ria, Ipoh.

Turut hadir, Ketua Eksekutif Perkeso Mohammed Azman Aziz Mohammed; Ketua Pegawai Komunikasi Izad Raya dan Pengarah PERKESO Perak Anthony Arul Dass.

Sementara itu, Saravanan berkata, faedah diterima Philomena adalah hasil caruman mendiang suaminya dengan PERKESO sepanjang enam tahun bertugas sebagai pengawal keselamatan.

“Menerusi pembayaran faedah tersebut, kebajikan Philomena akan lebih terjaga tambahan lagi mendiang suaminya adalah penanggung tunggal keluarga,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Philomena berkata, dia terharu dan berterima kasih kepada PERKESO atas penyerahan faedah caruman ditinggalkan mendiang suaminya.

Katanya, faedah yang diterimanya itu sedikit sebanyak meringankan beban ditanggung dan akan digunakan untuk belanja keperluan harian.

“Saya tidak sangka akan dapat bayaran ini, apa pun saya berterima kasih kepada PERKESO. Duit pencen ini akan saya gunakan untuk beli makanan, bayar bil dan belanja harian lain,” katanya

Dalam kejadian 29 Disember lalu, Thava Sagayam, 64, yang bertugas di kolam renang sebuah kondominium cedera di bahagian belakang kepala setelah diserang seorang lelaki.

Kejadian itu berpunca daripada tindakan lelaki yang tidak berpuas hati terhadap mangsa kerana cuba menghalang anak penyerang itu daripada menggunakan kolam renang yang ketika itu tidak dibuka kepada orang ramai.

Bagaimanapun, selepas lapan bulan menderita dan menjalani lapan pembedahan di kepala, Thava Sagayam menghembuskan nafas terakhir di rumahnya pada 27 Ogos lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.