KJ, Radzi bincang cadangan wajibkan vaksin terhadap guru

KJ, Radzi bincang cadangan wajibkan vaksin terhadap guru

Khairy Jamaluddin berkata perbincangan perlu dilakukan terlebih dulu dengan Kementerian Pendidikan berhubung cadangan itu kerana membabitkan implikasi perundangan.

Khairy Jamaluddin dan Radzi Jidin dijangka membincangkan cadangan mewajibkan pengambilan vaksin dalam kalangan pendidik.
PETALING JAYA:
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata beliau akan berbincang dengan rakan sejawatnya di Kementerian Pendidikan berhubung cadangan mewajibkan pengambilan vaksinasi terhadap guru.

Dalam sidang medianya, Khairy berkata perkara itu perlu diperhalusi bersama KPM terlebih dulu kerana mengambil kira cadangan membabitkan “mandat mengikut sektor” yang turut mempunyai implikasi perundangan.

“Jadi, saya kena bincang dulu dengan menteri pendidikan (Radzi Jidin) berkenaan ‘sectoral mandate’ (mandat mengikut sektor), sama ada kita boleh wajibkan pengambilan vaksin,” katanya.

“Saya rasa sektor pelancongan turut melihat perkara itu, tetapi ia terpulang kepada mereka untuk melaksana dalam ruang lingkup sektor dan peringkat syarikat. Contohnya, jika syarikat penerbangan mahu anda kemukakan bukti vaksinasi, ia terpulang kepada mereka,” katanya.

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, baru-baru ini, mengadakan pertemuan dengan 779 guru di negeri terbabit yang memilih tidak divaksin, dengan separuh daripadanya menangguhkan janji temu susulan mengandung, alergik dan masalah kesihatan lain.

Bagaimanapun, baginda berkata sejumlah 396 daripada mereka menolak untuk divaksin kerana ragu-ragu terhadap vaksin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.