Kerajaan perlu kawal jualan kit ujian kendiri Covid-19 tidak sah, kata persatuan pengguna

Kerajaan perlu kawal jualan kit ujian kendiri Covid-19 tidak sah, kata persatuan pengguna

Persatuan pengguna bimbang akan jualan kit ujian pantas antigen Covid-19 di pasaran yang tidak disahkan oleh kerajaan serta mutu set ujian kendiri itu.

Semalam, kerajaan mengumumkan harga maksimum satu set kit ujian pantas antigen Covid-19 ditetapkan pada harga borong RM16 dan runcit RM19.90.
PETALING JAYA:
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyambut baik keputusan kerajaan mengawal harga maksimum kit ujian pantas antigen Covid-19 bagi tujuan ujian kendiri.

Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA, Saravanan Thambirajah menyifatkan langkah itu sebagai “bagus dan tepat pada waktunya”.

Bagaimanapun, Saravanan melahirkan kebimbangannya berhubung penjualan kit ujian pantas itu di pasaran yang tidak disahkan oleh kerajaan.

Katanya, walaupun harga penjualan kit ujian itu berpatutan, tetapi kerajaan harus membuat pemantauan dan segera mengambil tindakan terhadap pihak yang menjualnya tanpa mendapat kelulusan.

“Tindakan kerajaan menjual pada harga siling kit ujian pantas adalah bagus dan tepat pada masanya.

“Ia mampu mengurangkan isu kenaikan harga dan juga membantu mengelakkan peniaga daripada mengambil kesempatan ke atas pengguna,” katanya kepada FMT.

Semalam, kerajaan mengumumkan harga maksimum kit ujian itu akan dikawal mengikut akta berkaitan bermula 5 Sept bagi memastikan harga yang berpatutan dan keberadaan bekalan untuk pengguna dan peniaga.

Harga maksimum satu set kit ujian berkenaan ditetapkan pada harga borong RM16 dan runcit RM19.90, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam kenyataan bersama.

Kit yang akan dikawal merupakan peranti yang diluluskan “secara bersyarat” oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

Dalam pada itu, Saravanan berkata, kerajaan juga harus mencari penyelesaian untuk pengguna yang hilang punca pendapatan akibat penularan wabak Covid-19.

Beliau menyarankan agar kerajaan memberikan kit itu secara percuma kepada mereka yang terjejas terutama golongan berpendapatan rendah (B40).

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Jacob George berkata, selain harga berpatutan, mutu set kit ujian itu juga perlu sama atau lebih baik.

Beliau juga berharap, kerajaan memastikan setiap keluarga boleh memiliki satu atau dua set kit ujian tersebut.

“Apa yang mustahak adalah kita mahu lihat bolehkah kit itu memainkan peranan dalam keadaan kritikal sekarang ini,” katanya.

Beliau turut menggesa agar kerajaan masuk campur dengan membuat dasar senarai harga baharu dengan subsidi supaya semua keluarga memiliki satu atau dua set kit ujian itu.

Katanya, ini kerana tidak semua orang di luar bandar mampu membelinya.

“Kit ini penting supaya setiap keluarga boleh periksa dulu status Covid-19 dan tidak terus ke hospital yang mungkin sedang sesak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.