
Bekas ketua menteri itu berkata, pembelaan terhadap kerajaan persekutuan tidak diperlukan rakyat Pulau Pinang, sebaliknya memerlukan pemimpin yang dapat memenuhi mandat pilihan raya untuk mempertahan, termasuk menyelamatkan nyawa rakyatnya dan mata pencarian mereka.
“Dengan melakukan segala usaha untuk menebus kelemahan atau kegagalan kerajaan persekutuan baharulah kerajaan negeri dapat menjawab kepada keluarga mangsa yang kehilangan nyawa akibat Covid-19.
“Kerajaan Selangor enggan bergantung sepenuhnya kepada janji kerajaan persekutuan dan terus membeli vaksin sendiri. Tidak seperti di Selangor, Pulau Pinang tidak mendesak secara agresif bagi menubuhkan Penyelaras Operasi Lonjakan Kapasiti (OSC) yang dapat memudahkan kerajaan persekutuan dan negeri mengelak gangguan bekalan vaksin,” katanya dalam kenyataan.
Lim berkata, terdapat keperluan untuk membezakan usaha kerajaan negeri berbanding kegagalan kerajaan persekutuan agar rakyat negeri berkenaan tidak menyalahkan kerajaan negeri susulan tindak balasnya yang gagal menangani Covid-19.
“Saya ingin menekankan bahawa kita memahami dan menghargai pengorbanan wira barisan hadapan negara, tetapi kerajaan persekutuan gagal dengan tidak menyediakan sumber dan tenaga mencukupi, termasuk memberi jawatan tetap kepada pegawai perubatan kontrak.
“Ketiadaan ambulans, tidak ada yang menjawab panggilan di talian hotline, kemudahan menyedihkan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), kekurangan sokongan kesihatan dalam menangani rawatan atau masalah, bahkan bekalan vaksin tidak mencukupi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) adalah aduan yang sering didengar,” katanya.
Katanya, mana-mana pihak yang berani mendakwa Pulau Pinang sudah melakukan yang terbaik dalam perang melawan Covid-19 adalah mereka yang lari daripada kenyataan.
“(Mereka) memperkecil mangsa yang meninggal akibat Covid-19, terutama 400 orang yang mungkin dapat diselamatkan sekiranya vaksin tiba lebih awal,” katanya.
Lim turut mengkritik Exco kesihatan negeri itu yang patuh mengikut apa sahaja dilakukan kerajaan persekutuan sedangkan Pulau Pinang tidak mencapai sasaran vaksinasi dos pertama sebelum Hari Merdeka.
“Bandingkan Selangor yang telah mencapai 112% vaksinasi dos pertama bagi penduduk dewasa dengan 85.6% di Pulau Pinang atau 94.1% daripada populasi dewasa (Selangor) yang telah diberi vaksin penuh, berbanding dengan 59% di Pulau Pinang,” katanya.