
Dalam kenyataan bersama, bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching dan bekas timbalan menteri pembangunan luar bandar Sivarasa Rasiah berkata, kerajaan harus mengembalikan kuota khas 10% untuk pelajar bukan Bumiputera di MRSM.
Kuota khas pertama kali diperkenalkan pada 2002.
“Kami difahamkan ramai pelajar yang ingin memohon memasuki MRSM sudah tidak lagi berupaya melakukan demikian, disebabkan oleh pertukaran polisi kerajaan yang berkuatkuasa untuk permohonan MRSM tahun 2022,” kata mereka.
Mereka berkata, sebelum 2018, walaupun terdapat kuota 10%, kurang daripada 2% pelajar bukan Bumiputera memohon memasuki MRSM.
“Oleh itu, kenapa harus golongan ini dihalang daripada menerima pendidikan di MRSM? Peluang 10% ini tidaklah merugikan pelajar Bumiputera atau menidakkan hak mereka untuk belajar di MRSM.
“Kuota ini adalah kuota tambahan yang lazimnya tidak dapat dipenuhi. Maka, apa salahnya jika dibuka kepada sekolah aliran lain?” soal mereka.
Memetik data daripada Yayasan Iltizam Malaysia, mereka berkata seramai 3,100 pelajar memohon MRSM pada 2019 yang majoriti dari sekolah pelbagai aliran.
“Ungkapan ‘Keluarga Malaysia’ yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hanya akan merupakan retorik dan sia-sia kalau dasar ini diteruskan oleh KPLB,” katanya.