Bantuan Khas Covid-19 diperluas kepada individu kuarantin di rumah, kontak rapat hilang punca pendapatan

Bantuan Khas Covid-19 diperluas kepada individu kuarantin di rumah, kontak rapat hilang punca pendapatan

Bantuan sebanyak RM100 sehari itu, sebelum ini terhad kepada mereka yang menjalani rawatan di wad hospital.

Ketua Pengarah NADMA, Aminuddin Hassim, berkata setakat ini sebanyak 35,566 permohonan BKC diterima NADMA dan 24,116 daripadanya diluluskan manakala 11,450 dikategorikan tidak layak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pesakit Covid-19 dan kontak rapat menjalani pengawasan dan pemantauan di rumah (HSO) atas arahan Kementerian Kesihatan (KKM) kini boleh memohon Bantuan Khas Covid-19 (BKC), kata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Bantuan sebanyak RM100 sehari itu, sebelum ini terhad kepada mereka yang menjalani rawatan di wad hospital.

Ketua Pengarah NADMA, Aminuddin Hassim, berkata keputusan itu dibuat susulan arahan KKM pada Mei lalu yang menetapkan supaya pesakit Covid-19 yang bergejala ringan perlu dikuarantin di rumah, namun masih tertakluk kepada kemudahan fasiliti untuk mengasingkan diri.

“Selain syarat hilang punca pendapatan (sepanjang tempoh kuarantin), mana-mana individu yang ada bukti diarahkan untuk HSO, dia (pesakit Covid-19 dan kontak rapat) masih boleh hantar permohonan, janji ada bukti daripada KKM,” katanya pada sidang media maya bertajuk “Tabung Covid-19 Anda Tanya NADMA Jawab”.

Berdasarkan semakan di laman web NADMA, pesakit Covid-19 dan kontak rapat yang hilang sumber pendapatan atau tidak dibayar gaji sepanjang menjalani rawatan di wad hospital dan HSO layak memohon bantuan itu.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, setiap permohonan disasar untuk diluluskan dalam tempoh 30 hari walaupun berdepan cabaran susulan peningkatan kes Covid-19.

“InsyaAllah kita cuba selesaikan dalam 30 hari namun bergantung juga kepada permohonannya tidak lengkap di mana kita perlu ambil masa lebih sedikit,” katanya.

Setakat ini, sebanyak 35,566 permohonan BKC diterima NADMA dan 24,116 daripadanya diluluskan manakala 11,450 dikategorikan tidak layak.

Bagaimanapun, daripada permohonan yang berjaya itu hanya 17,982 dikategorikan permohonan lengkap dan pembayaran sebanyak RM22.2 juta membabitkan 16,722 individu sudah disalurkan.

Bakinya, 2,180 permohonan yang layak dikategorikan sebagai tidak lengkap, 1,809 permohonan sedang diproses sementara dan 2,145 permohonan sedang menunggu verifikasi padanan data KKM.

Justeru, Aminuddin menggesa pemohon menyertakan dokumen lengkap sebelum membuat permohonan bagi memudahkan proses semakan dan memendekkan tempoh menunggu.

“Kebanyakan borang dihantar tidak lengkap, kadang-kadang tiada nombor akaun, permohonan berganda dan sebagainya.. itu buatkan kita terpaksa proses berulang kali dan ada juga apabila kematian berlaku di luar premis KKM.

“Itu yang buatkan kita perlukan pengesahan daripada KKM untuk menyatakan bahawa si mati adalah pesakit Covid-19 terutama kes BID (di luar hospital), sebab itu kita perlukan lebih masa untuk proses permohonan,” katanya.

Beliau menjawab rungutan orang ramai yang membangkitkan isu mengenai kelewatan pembayaran bantuan khas berkenaan.

Tabung Covid-19 NADMA diwujudkan pada 11 Mac tahun lalu bagi memberi bantuan khas sebanyak RM100 sehari kepada rakyat negara ini yang bekerja/berniaga tetapi kehilangan pendapatan atau tidak dibayar gaji berikutan dikenakan kuarantin atau menjalani rawatan Covid-19 di wad hospital.

Pada 17 Mac 2020, Perdana Menteri ketika itu Muhyiddin Yassin kemudian meluluskan agar tabung berkenaan diperluaskan meliputi Bantuan Khas Pengurusan Kematian Covid-19 kepada waris yang meninggal dunia akibat Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.