
Ia susulan dua suspek warga Malaysia, Mohammad Nazir Lep dan Mohammed Farik Amin mengadu kata-kata mereka diterjemahkan secara harfiah yang menyebabkan strukturnya “terbalik dan tunggang-langgang”.
Perbicaraan dua hari itu diadakan di kamar mahkamah tentera di pangkalan tentera laut AS di Teluk Guantanamo, Cuba, di mana dua suspek berkenaan dan warga Indonesia Encep Nurjaman yang lebih dikenali sebagai Hambali, ditahan sejak 15 tahun lalu.
Mereka didakwa terlibat dalam pengeboman di Bali pada 2002 yang membunuh 202 orang pelbagai kerakyatan, serta satu lagi serangan di Jakarta setahun kemudian.
Disebabkan peguam bela berulang kali mempertikaikan terjemahan yang tidak memuaskan, hakim tentera, Hayes Larsen mengarahkan TWT berhubung latar belakang profesional penterjemah itu, menurut transkrip prosiding yang dimuat naik ke laman web Pejabat Suruhanjaya Tentera AS, semalam.
Nama penterjemah itu, yang dilantik dan disediakan oleh kerajaan AS, tidak disertakan dalam transkrip berkenaan.
Hakim: Jadi Penterjemah Nombor 1, bagaimana anda mempelajari Bahasa Inggeris?
Penterjemah: Yang Arif, saya belajar Bahasa Inggeris di Malaysia kerana lahir dan dibesarkan di situ, selain menggunakan Bahasa Melayu. Saya melanjutkan pelajaran di kolej di AS. Saya mempunyai ijazah Sarjana Muda dalam Bahasa Inggeris serta Sarjana di AS.
Hakim: Apa bahasa yang anda perlu terjemahkan di sini?
Penterjemah: Bahasa Melayu.
Hakim: Bagaimana anda mempelajari Bahasa Melayu?
Penterjemah: Kami mempelajarinya di sekolah dan rumah. Kami bercakap Bahasa Melayu di mana-mana sahaja. Semua mata pelajaran juga dalam Bahasa Melayu.
Hakim: Adakah kamu mempelajari Bahasa Melayu secara formal di sekolah atau kolej? Jika ya, sila huraikan.
Penterjemah: Ya, saya mempelajari Bahasa Melayu secara rasmi sejak Darjah 1 sehingga sekolah menengah dan menduduki peperiksaan utama yang dipanggil SPM.
Hakim: Apakah tahap atau ijazah tertinggi diperoleh anda dalam mempelajari Bahasa Melayu?
Penterjemah: Saya belajar sehingga peringkat sekolah menengah yang ditamatkan dengan peperiksaan SPM. Itu memang pendidikan formal saya.
Hakim: Adakah anda lulus sebarang peperiksaan pengiktirafan atau pensijilan dalam penterjemahan? Jika ya, sila huraikan.
Penterjemah: Saya adalah pemeriksa kecekapan bertauliah bagi Jabatan Pertahanan untuk Bahasa Melayu. Saya juga jurubahasa mahkamah bagi negeri Colorado dan jurubahasa mahkamah bertauliah.
Hakim: Berapa kali anda memberikan perkhidmatan penterjemahan?
Penterjemah: Saya terlibat kira-kira lima kes dalam Bahasa Melayu.
Susulan aduan peguam Hambali yang mempertikaikan penterjemah berkenaan, hakim itu kemudian membuat penilaiannya.
“Setelah meneliti resume setiap jurubahasa dan melakukan bicara dalam perbicaraan menyeluruh melibatkan penterjemah itu, saya percaya mereka mampu membuat penterjemahan secara langsung bagi Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia,” katanya.
Beliau menasihatkan semua pihak memastikan mereka bercakap dengan terang dan tidak tergesa-gesa untuk memastikan terjemahan tepat diberikan sebelum beralih ke isu lain.
Bagaimanapun hakim itu berkata, beliau akan menyertakan bantahan peguam berkenaan prestasi jurubahasa terbabit yang boleh dibangkitkan dalam sebarang usul untuk pertimbangan mahkamah pada masa akan datang.
Prosiding itu berakhir dengan ketiga-tiga suspek menangguhkan pengakuan mereka kerana tidak berpuas hati dengan penterjemahan itu. Hakim menangguhkan perbicaraan tanpa menetapkan tarikh seterusnya.