Kes Shahrir Samad: Pendakwaan serah pernyataan saksi kepada pembelaan

Kes Shahrir Samad: Pendakwaan serah pernyataan saksi kepada pembelaan

Mahkamah mengarahkan pihak pendakwaan menyerahkan pernyataan fakta itu sebelum atau pada 16 Sept ini dan menetapkan 8 Feb 2022 untuk pengurusan kes selanjutnya.

Shahrir Ab Samad yang didakwa gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pihak pendakwaan dalam kes bekas Pengerusi Felda Shahrir Ab Samad yang didakwa gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), akan menyerahkan pernyataan saksi pendakwaan kepada pasukan pembelaan sebelum perbicaraan bermula pada 6 April 2022.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali memaklumkan perkara itu semasa pengurusan kes berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Shahrir Mohd Salleh hari ini, yang turut dihadiri peguam Shahrir, Syahrul Syazwan Salehin.

“Pihak kami akan menyerahkan pernyataan saksi-saksi pendakwaan kepada pembelaan kelak,” kata Mohd Afif.

Sementara itu, Syahrul Syazwan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya masih belum memperoleh pernyataan fakta yang memihak kepada tertuduh berdasarkan Seksyen 51A (1) (c) Kanun Prosedur Jenayah.

Mahkamah mengarahkan pihak pendakwaan menyerahkan pernyataan fakta itu sebelum atau pada 16 Sept ini dan menetapkan 8 Feb 2022 untuk pengurusan kes selanjutnya.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Menurut tuduhan, dia didakwa tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh.

Beliau yang didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.