
Panel tiga hakim diketuai Rohana Yusuf membuat keputusan itu selepas mendapati berlaku salah laksana keadilan oleh Mahkamah Tinggi yang kemudian disahkan Mahkamah Rayuan.
Rohana berkata, sabitan terhadap Suhailah Abdullah itu tidak selamat kerana hakim perbicaraan gagal mempertimbangkan bukti dikemukakan pembelaan seperti diperlukan mengikut Seksyen 182A Kanun Prosedur Jenayah.
“Kami mendapati Mahkamah Rayuan juga gagal mempertimbangkan pembelaannya,” katanya dalam prosiding maya yang berakhir lewat semalam.
Bagaimanapun, katanya, Suhailah tidak boleh menganggap dirinya langsung tidak bersalah.
Beliau yang bersidang bersama Abdul Rahman Sebli dan Hasnah Mohammed Hashim berkata, tiada dapatan sahih wujudnya pengedaran dadah oleh dua mahkamah lebih rendah itu.
“Jadi berlaku salah laksana keadilan oleh hakim perbicaraan yang kemudian disahkan Mahkamah Rayuan,” katanya.
Susulan itu, panel hakim mendapati Suhailah bersalah kerana memiliki dadah dan memerintahkannya dipenjara 10 tahun.
Suhailah, 48, yang sebelum ini mengajar di Sekolah Antarabangsa UCSI Subang Jaya, menangis selepas mendengar keputusan itu.
Peguam K Rakhbir Singh mewakili Suhailah manakala Nahra Dollah dan Zaki Asyraf Zubir hadir bagi pihak pendakwaan.
Panel hakim dan pendakwaan berada di Putrajaya, manakala K Rakhbir di Kota Kinabalu dan Suhailah di Kajang.
Pada 27 Mei 2013 Suhailah ditahan bersama 959.5g methamphetamine yang ditemui dalam beg dibawanya. Dia ketika itu tiba di Kota Kinabalu dari New Delhi, dengan hentian transit di Singapura.
Pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu menemui bahan berwarna kehijauan di dalam bagasi itu ketika melakukan imbasan.
Suhailah didapati bersalah dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi pada Jun 2016. Keputusan itu disahkan Mahkamah Rayuan pada Ogos 2018.
K Rakhbir memberitahu FMT, Suhailah mungkin akan keluar dari penjara dalam tempoh dua atau tiga bulan selepas mengambil kira tempoh remisi satu pertiga kerana berkelakuan baik.
Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang bekas pemasang wayar gagal mengetepikan hukuman mati terhadapnya kerana mengedar 113.67g methamphetamine, empat tahun lalu.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Has Zanah Mehat berkata, tiada kesilapan perundangan atau fakta oleh Mahkamah Tinggi ketika menjatuhkan hukuman terhadap M Mugilan.
Mugilan dihukum mati oleh Hakim Mahkamah Tinggi Azman Abdullah pada 8 Sept 2018.
Dia didapati bersalah mengedar dadah itu di Jalan Jinjang Utama, Sentul, Kuala Lumpur, pada jam 9.15 malam 29 Mac 2017.
Menurut fakta kes, dia ditahan dua anggota polis peronda ketika menunggang motosikal, sebelum dadah berkenaan ditemui dalam 14 peket plastik di bakul kenderaannya.
Mugilan diwakili peguam Haffidin Ahmad Hafifi manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Khusairy Ibrahim hadir bagi pihak pendakwa.