Disangka babi hutan, lelaki mati ditembak rakan

Disangka babi hutan, lelaki mati ditembak rakan

Jembu Selukai, 36, cedera parah di perut dan paha kiri akibat terkena tembakan rakannya.

Suspek menyerah diri di Balai Polis Kapit pagi tadi bersama selaras senapang patah disyaki ‘bakakok’ (buatan sendiri). (Gambar Facebook)
KAPIT:
Seorang lelaki maut terkena tembakan rakan sendiri semasa memburu di kawasan hutan Sungai Tanyit, Merit, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 3 petang itu, Jembu Selukai, 36, dari Rumah Kilau, Sungai Melilau, di sini, cedera parah di bahagian perut dan paha kiri akibat terkena tembakan rakannya yang berusia 45 tahun.

Ketua Polis Daerah Kapit, Freddy Bian berkata, suspek menyerah diri di Balai Polis Kapit pagi tadi bersama selaras senapang patah yang disyaki “bakakok” (buatan sendiri).

Katanya, mangsa meninggal dunia ketika dibawa balik ke kem tempat kerja mereka.

Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa bersama suspek pergi ke hutan untuk memburu, manakala dua lagi rakan mereka menjala ikan di sungai berhampiran.

Katanya, suspek dikatakan melihat satu bayangan yang disangkakan babi hutan dan melepaskan tembakan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(1) Akta Senjata Api 1960.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.