Bekas pembaca berita RTM, Kamaruddin Ahmad meninggal dunia

Bekas pembaca berita RTM, Kamaruddin Ahmad meninggal dunia

Beliau menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Bukit Sentosa, Selangor pada 7 pagi tadi.

Kamaruddin Ahmad meninggal dunia akibat sakit tua pada usia 78 tahun. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas penyampai berita veteran RTM, Kamaruddin Ahmad meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya di Bukit Sentosa, Selangor pada 7 pagi tadi.

Berita pemergiannya disahkan anaknya, Kamarul Zaidi Kamaruddin, 53.

“Arwah ada beberapa komplikasi penyakit, termasuk diabetes dan sakit pada bahagian prostat.

“Beliau tiada selera makan sejak beberapa bulan lalu. Berat badannya kian menyusut. Arwah juga sakit badan dan batuk,” katanya dipetik Berita Harian.

Kamarul yang lebih setahun tidak berjumpa bapanya disebabkan pandemik Covid-19, merancang mengambil cuti untuk menziarahinya minggu depan.

“Namun, tidak berkesempatan, Allah lebih menyayangi arwah.”

Jurutera awam itu yang menetap di Damansara berkata, bapanya berkahwin kali kedua selepas arwah ibunya meninggal dunia enam tahun lalu dan tinggal bersama ibu tiri sejak dua tahun lalu.

Kamaruddin meninggalkan seorang balu, lapan anak, 17 cucu dan enam cicit.

Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Bukit Beruntung, sebelum waktu Zohor.

Sepanjang 20 tahun bertugas di RTM, arwah menjadi penyampai televisyen pertama dalam sejarah penyiaran negara bergandingan dengan Allahyarham Wan Chik Daud.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.