615 kanak-kanak, remaja di Sabah dijangkiti Covid-19 hari ini

615 kanak-kanak, remaja di Sabah dijangkiti Covid-19 hari ini

24 daripada kes dilaporkan membabitkan bayi berusia kurang setahun.

Daripada 615 kes membabitkan kanak-kanak, 165 membabitkan usia setahun hingga lima tahun manakala 426 kes berusia enam hingga 17 tahun, kata Masidi Manjun. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Lebih 600 kanak-kanak dan remaja antara 2,329 yang dijangkiti Covid-19 sepanjang tempoh 24 lalu di Sabah.

Dalam kenyataan harian Covid-19 hari ini, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun berkata 24 daripadanya membabitkan bayi berusia kurang setahun.

Tambahnya, 165 pula membabitkan kanak-kanak berusia satu hingga lima tahun manakala 426 kes membabitkan mereka berusia antara enam hingga 17 tahun.

Sebilangan besar jangkitan membabitkan pesakit berusia antara 18 dan 59 tahun dengan 1,492 kes manakala 222 kes membabitkan mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas, katanya.

Jangkitan membabitkan kanak-kanak dan remaja hari ini sedikit rendah berbanding semalam, dengan 695 kes 29 bayi berusia di bawah setahun, 200 kanak-kanak berusia satu hingga lima tahun, dan 466 kes melibatkan kanak-kanak berusia enam hingga 17 tahun.

Masidi, yang juga jurucakap Covid-19 negeri berkata, 706 dari 2,329 kes terdiri daripada pesakit yang telah menerima vaksin lengkap, sementara 274 lagi membabitkan mereka sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, pelatih berusia 44 tahun di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Mukim Petagas dekat sini mencetuskan kluster Jalan Pahlawan yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 45 orang dijangkiti.

Masidi berkata, mereka yang dijangkiti terdiri daripada pelatih polis, jurulatih, kakitangan di pusat latihan berkenaan serta ahli keluarga mereka.

“Selain Kota Kinabalu, ada juga penularan di Penampang yang berkaitan dengan kluster berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pesakit indeks, yang tinggal di sebuah blok perumahan polis di Kepayan di sini, didapati positif virus itu pada 26 Ogos selepas mengalami gejala dua hari sebelumnya.

“Daripada 72 orang yang disaring, 45 diuji positif. Ia termasuk 41 kes baharu hari ini,” katanya.

Tambahnya, lapan orang diuji negatif, sementara baki 18 ujian masih menunggu keputusan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.