Petugas bertempiaran lari, pemandu ‘gila’ rempuh khemah SJR di kawasan PKPD

Petugas bertempiaran lari, pemandu ‘gila’ rempuh khemah SJR di kawasan PKPD

Ketua Polis Daerah Tumpat Ab Rashid Mat Daud berkata pemandu kereta itu kemudian memecut dari lokasi.

Seorang anggota polis menyelamatkan diri daripada dirempuh kereta Proton Iswara dipandu seorang lelaki. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Petugas di sekatan jalan raya (SJR) di Kampung Talak, Tumpat, Kelantan, sempat menyelamatkan diri selepas sebuah Proton Iswara secara mengejut merempuh khemah petugas terbabit, pagi tadi.

Dalam kejadian 11.45 pagi itu, petugas tidak mempunyai pilihan selain bergegas melarikan diri dalam kawasan kampung yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) itu.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Ab Rashid Mat Daud, berkata pemandu Proton Iswara hitam itu kemudian memecut dari lokasi.

“Anggota kami mengejar, namun pemandu terbabit dapat meloloskan diri.

“Bagaimanapun, anggota di lokasi sempat mencatat nombor pendaftaran kereta itu,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Ab Rashid berkata, tiada anggota cedera akibat rempuhan itu, bagaimanapun beberapa barangan rosak.

Beliau berkata, pihaknya masih mengesan pemandu kereta itu dan mengenal pasti sama ada dia penduduk dalam lokaliti PKPD berkenaan atau sebaliknya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26(2) Akta Polis 1967.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.