Pemulihan bekalan air 463 kawasan terjejas capai tahap 26%

Pemulihan bekalan air 463 kawasan terjejas capai tahap 26%

Proses pemulihan bekalan akan berjalan secara berperingkat bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

Sebanyak 463 kawasan membabitkan lima wilayah di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual semalam susulan henti tugas loji rawatan air Sungai Semenyih akibat pencemaran bau.
PETALING JAYA:
Status pemulihan bekalan air di semua kawasan terjejas susulan henti tugas loji rawatan air (LRA) Sungai Semenyih akibat pencemaran bau sudah mencecah 26% setakat 12 tengah hari tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Elina Baseri berkata, proses pemulihan bekalan akan berjalan secara berperingkat, bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

“Setakat ini, kawasan Hulu Langat sudah mencapai 61.1%; Sepang 43.3% dan Putrajaya 17.4%.

“Manakala kerja pemulihan bekalan masih dijalankan di kawasan Petaling dan Kuala Langat,” katanya dalam kenyataan.

Awal pagi tadi Elina berkata, bekalan air bersih dan selamat mula disalurkan pada 7 pagi secara berperingkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada 12.00 tengah malam, 3 September.

Terdahulu, media melaporkan LRA Sungai Semenyih itu sudah bersedia beroperasi semula selepas bacaan tahap sifar TON (nombor ambang bangar) tiga kali berturut-turut direkodkan.

Sebanyak 463 kawasan membabitkan lima wilayah di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.