PAS, DAP sehaluan sokong undang-undang antilompat parti

PAS, DAP sehaluan sokong undang-undang antilompat parti

PAS secara asas bersetuju dengan undang-undang antilompat parti kerana yakin ia memberikan kestabilan kepada negara.

Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad berkata, sokongan awal DAP itu juga diharap dapat menghentikan politik berlebih-lebihan dan membuka ruang kepada lebih banyak kerjasama rentas parti. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
PAS menyambut baik kesediaan DAP menyokong undang-undang berkaitan antilompat parti yang memerlukan sokongan dua pertiga di Parlimen bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad berkata, parti itu secara asas bersetuju dengan undang-undang antilompat parti kerana yakin ia memberikan kestabilan kepada negara.

Malah katanya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di bawah pentadbiran PAS juga telah meminda perlembagaan negeri dan meluluskan undang-undang antilompat parti yang berkuat kuasa secara retrospektif dari November 1990 lagi.

“Maknanya kami sudah nampak perbuatan itu (lompat parti) boleh memberi mudarat kepada politik negara. Dalam keadaan sekarang, PAS menyambut baik sebarang kerjasama yang dihulurkan sesiapa sahaja termasuk parti pembangkang untuk memastikan kita dapat membentuk suasana politik yang stabil,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Setiusaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dalam perutusan Hari Kebangsaan DAP 2021 kelmarin menyatakan, partinya bersedia bekerjasama demi melaksanakan reformasi institusi, terutama pindaan perlembagaan yang memerlukan majoriti dua pertiga untuk menggubal undang-undang antilompat parti.

Ditanya kenapa tawaran serupa yang dibuat pentadbiran Muhyiddin Yassin ditolak mentah-mentah oleh DAP dan sekutunya, Kamaruzaman berkata, pada masa itu mereka mungkin mempunyai keyakinan untuk mendapat sokongan majoriti bagi membentuk kerajaan.

“Apabila menyedari tiada majoriti, barulah mereka hendak sambut semula. Apapun kita lihat undang-undang antilompat parti adalah perkara yang perlu diurus dengan baik, jika tidak (perbuatan lompat parti) akan terus menimbulkan kestidakstabilan,” katanya.

Kamaruzaman, berkata, sokongan awal DAP itu juga diharap dapat menghentikan politik berlebih-lebihan dan membuka ruang kepada lebih banyak kerjasama rentas parti.

“Semua pihak perlu beri peluang kepada kerajaan yang terbukti memiliki majoriti dan apabila negara dapat dikeluarkan daripada masalah Covid-19, pilihan raya umum boleh diadakan secepat mungkin.

“Ini juga bertepatan dengan titah Yang di-Pertuan Agong supaya semua parti memberi kerjasama kepada kerajaan terutama dalam aspek wabak Covid-19 yang masih serius,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Tajuddin Abdul Rahman meminta kerajaan berhati-hati dengan sokongan DAP kerana ia mungkin dibuat secara berpilih, iaitu yang memberi manfaat kepada parti itu sahaja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.