NGO kecam ugutan, gangguan seksual terhadap aktivis

NGO kecam ugutan, gangguan seksual terhadap aktivis

Sekretariat Solidariti Rakyat berkata taktik sedemikian adalah perbuatan jenayah dan gangguan seksual kepada aktivis wanita harus dikecam kerana ia boleh menjadi kebiasaan berbahaya jika dibiarkan.

Shakila Zen menerima mesej WhatsApp berbaur seksual serta gambar tidak senonoh yang mengandungi maklumat peribadinya.
PETALING JAYA:
Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) mengecam ugutan dan gangguan seksual terhadap aktivis alam sekitar, Shakila Zen.

NGO itu dalam kenyataan berkata, Shakila menerima satu bungkusan daripada individu tidak dikenali yang mengandungi surat ugutan akan disimbah asid dan replika tangan dipotong yang berlumuran darah kelmarin.

Semalam, beliau menerima satu mesej WhatsApp berbaur seksual serta gambar dalam poster tidak senonoh yang mengandungi maklumat peribadinya.

“Shakila berpendapat gangguan dan ancaman ini adalah berikutan video ulasan beliau berkenaan himpunan #Lawan pada 31 Julai yang tular di Tiktok.

“Walaupun beliau bukan sebahagian daripada SSR, namun tindakan mengugut, mengancam dan gangguan berbaur seksual ini adalah tindakan melampau dan tidak boleh diterima sama sekali.”

SSR berkata, Shakila sudah membuat dua laporan polis berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara.

Katanya, taktik ugutan sedemikian adalah perbuatan jenayah dan gangguan seksual yang disasarkan kepada aktivis wanita harus dikecam oleh semua pihak kerana ia boleh menjadi kebiasaan berbahaya jika terus dibiarkan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Mohd Khairi Shafie dipetik Malaysiakini sebagai berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.