Malaysia ambil pendekatan hati-hati dengan Taliban, kata menteri

Malaysia ambil pendekatan hati-hati dengan Taliban, kata menteri

Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata, Putrajaya akan membuat keputusan dalam masa terdekat.

Saifuddin Abdullah (kiri) bersama timbalannya Kamaruddin Jaffar menemui pegawai Kementerian Luar di Putrajaya hari ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Malaysia mengambil pendekatan berhati-hati mengenai pendirian terhadap kerajaan Taliban di Afghanistan, kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Katanya, kerajaan memantau perkembangan di Afghanistan, terutamanya di Kabul.

“Kami menerima laporan daripada pelbagai sektor dan kami akan membuat keputusan dalam masa terdekat.

“Buat masa ini, kami masih menilai situasi di Afghanistan,” katanya dalam sidang media hari pertamanya di kementerian itu.

Taliban menawan Kabul pada 15 Ogos lalu, sekali gus menguasai Afghanistan buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun, selepas tentera Amerika Syarikat berundur dari negara itu. Presidennya Mohammad Ashraf Ghani turut meninggalkan Afghanistan.

Mengenai laporan dua rakyat Malaysia yang dipercayai terlibat dengan IS dan kini ditahan Taliban, Saifuddin berkata, beliau sudah bercakap dengan Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani mengenai perkara itu.

“Polis masih menunggu laporan sahih mengenai dua orang yang dilaporkan sebagai rakyat Malaysia itu.

“Bagaimanapun, memang ada dua lagi rakyat Malaysia yang berada di sana secara sukarela kerana mereka berkhidmat dengan dua organisasi kemanusiaan, jadi itu buat masa ini tiada isu,” katanya.

Mengenai pendekatan ASEAN menangani krisis di Myanmar, Saifuddin berkata, Malaysia yakin duta khas ASEAN ke Myanmar, Erywan Mohd Yusof mampu memainkan peranannya.

“Saya akan menemuinya secepat mungkin,” katanya sambil menambah ia adalah kesinambungan daripada apa yang dilaksanakan bekas menteri luar, Hishammuddin Hussein.

Saifuddin berharap beberapa hasil positif dapat dicapai daripada konsensus lima perkara yang dimandatkan pemimpin ASEAN.

Mengenai isu Laut China Selatan, Saifuddin gembira dengan perkembangan berkaitan rundingan Kod Tata Laku (COC) berbanding ketika beliau menggalas tanggungjawab dalam urusan hal ehwal luar negeri sebelum ini.

“Ya, sudah tentu kami ingin memastikan COC dapat dilaksanakan.”

Mengenai hubungan Malaysia dengan Singapura, terutama berkaitan perjanjian air dan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura, beliau berkata, hubungan dua hala itu sentiasa baik.

Katanya, hubungan dengan rakan sejawatannya, Vivian Balakrishnan amat baik dan beliau berharap hubungan itu dapat terus diperkukuhkan.

“Hubungan kami (saya dan Vivian) seperti rakan yang akrab. Jadi, tiada sebarang masalah antara antara saya dan Vivian.”

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.