Jabatan Kesihatan Kelantan terima laporan 34 penghuni madrasah enggan jalani ujian saringan Covid-19

Jabatan Kesihatan Kelantan terima laporan 34 penghuni madrasah enggan jalani ujian saringan Covid-19

Mereka enggan menjalani saringan kerana merasakan tiada kaitan atau kontak rapat dengan kes Covid-19, yang meninggal dunia di Dabong pada 27 Ogos lepas.

Seramai 34 penghuni sebuah madrasah dilaporkan enggan menjalani ujian saringan Covid-19 malah pemiliknya tidak membenarkan ia dibuat ketika Pejabat Kesihatan Daerah mahu melakukannya.(Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) semalam mengesahkan menerima laporan berhubung 34 penghuni di sebuah madrasah di Kampung Sungai Kenerong, Dabong, dekat Kuala Krai, enggan menjalani ujian saringan Covid-19 baru-baru ini.

Bagaimanapun Pengarah JKNK Dr Zaini Hussin berkata, perkara itu berjaya diselesaikan dengan bantuan pihak polis melalui perbincangan dengan pengetua madrasah dan semua penghuni bersetuju menjalani ujian saringan itu.

“Mereka enggan menjalani saringan kerana percaya tiada kaitan atau kontak rapat dengan kes Covid-19 yang meninggal dunia di Dabong pada 27 Ogos lepas,” katanya kepada Bernama semalam.

Terdahulu, media melaporkan seramai 34 penghuni madrasah berkenaan enggan menjalani ujian saringan malah pemiliknya tidak membenarkan proses itu berjalan ketika Pejabat Kesihatan Daerah mahu melakukan ujian susulan kes kematian akibat Covid-19 membabitkan seorang penghuni di situ.

Ditanya berhubung nasihatnya bagi mengelakkan perkara berkenaan berulang, Zaini menyeru penduduk supaya memberi kerjasama kepada pihak berkuasa terutama petugas JKNK dalam membendung penularan wabak itu.

“Majoriti kes Covid-19 adalah tidak bergejala serta boleh menjangkiti orang lain, maka ujian makmal yang dibuat boleh menentukan sama ada seseorang itu dijangkiti atau tidak dan ini (ujian saringan) amat penting untuk memastikan status seseorang (positif atau negatif).

“Penyiasatan yang cepat dan tepat daripada pihak JKNK memerlukan kerjasama orang ramai untuk mengekang penularan wabak ini,” katanya sambil menambah bahawa pematuhan SOP dalam kalangan penduduk juga amat penting bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.