Hadiah tunai mampu ‘pujuk’ individu teragak-agak terima vaksin, kata tinjauan

Hadiah tunai mampu ‘pujuk’ individu teragak-agak terima vaksin, kata tinjauan

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada insentif seperti itu berkesan bagi golongan antivaksin yang ekstrem.

Tinjauan melibatkan 1,307 individu dewasa menunjukkan tawaran insentif berkesan walaupun ‘taktik paksaan’ juga mungkin lebih membuahkan hasil.
PETALING JAYA:
Hadiah tunai menerusi cabutan bertuah mungkin satu cara untuk menarik minat orang ramai mendaftar bagi suntikan vaksin Covid-19, menurut satu kajian tempatan.

Tinjauan Asean Research Center di Asia School of Business itu melibatkan 1,307 individu dewasa di seluruh negara.

Menurut dapatan tinjauan itu, 80% daripada responden yang masih belum mendaftar untuk menerima suntikan vaksin akan berbuat demikian jika berpeluang memenangi hadiah wang tunai.

Satu lagi kajian ke atas responden menunjukkan adalah lebih berkesan jika mereka perlu membayar untuk menjalani ujian PCR Covid-19 setiap dua minggu berbanding insentif cabutan bertuah yang menawarkan hadiah tunai RM1 juta.

Penyelidik terlibat berkata, walaupun kajian itu bukan mewakili keseluruhan penduduk, ia membayangkan bahawa peluang memenangi hadiah menerusi cabutan bertuah selepas mendaftar untuk vaksinasi adalah kaedah berkesan dalam meningkatkan kadar inokulasi.

Memetik data Kementerian Kesihatan, penyelidik berkata, susulan pengumuman mengenai kelonggaran peraturan perjalanan bagi golongan yang telah divaksin lengkap bulan lalu, jumlah mereka yang mendaftar untuk suntikan meningkat sehingga 10% setakat hari ini.

Ini menunjukkan tawaran insentif berkesan, walaupun kaedah paksaan juga mungkin lebih membuahkan hasil, kata mereka.

Antara insentif ditawarkan untuk mereka yang telah mendapat suntikan vaksin lengkap termasuk dibenarkan “dine-in” serta boleh membuat perjalanan melebihi 10km.

Walaupun penyelidik maklum bahawa kes masih menunjukkan rekod tinggi akibat kemunculan varian Delta namun mereka berkata, untuk Malaysia memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan meredakan lonjakan kes sebelum hujung tahun, setiap negeri mungkin perlu mengambil tindakan lebih tegas bagi meningkatkan kadar vaksinasi masing-masing.

“Perlu diingat kita masih tidak pasti sama ada insentif tunai akan berkesan bagi mereka yang berpendirian antivaksin ekstrem,” kata Melati Nungsari dari Asean Research Center.

“Kami juga tidak memfokuskan terhadap meningkatkan akses mendapatkan vaksin bagi kumpulan rentan seperti golongan tidak berdokumen. Bagaimanapun, semua ini adalah soalan empirik yang mungkin dapat dijawab pada masa akan datang.

“Berdasarkan kajian ini, kami berharap dapat bekerjasama dengan pembuat dasar untuk membantu mereka melaksanakan dan mengukur langkah campur tangan bagi membantu meningkatkan kadar vaksinasi di negara ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.