
“Ia benar-benar menimbulkan perasaan patriotik dalam diri kami,” katanya kepada FMT.
Nalvin dan bapanya, seorang bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), juga akan mengibarkan bendera Malaysia di luar rumah mereka untuk meraikan hari bersejarah buat negara itu.
Bagaimanapun, ketika Nalvin ingin memohon untuk mendapatkan kad pengenalan (IC) pada usia 12 tahun, dia dan ayahnya, seorang lelaki Punjabi tempatan, terkejut apabila diberitahu oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bahawa dia tidak layak mendapat kewarganegaraan Malaysia.
Ini kerana, ibu Nalvin, yang pulang ke tanah airnya di Filipina tidak lama selepas Nalvin lahir, bukan rakyat Malaysia.
Nalvin kini berusia 24 tahun dan kesnya masih diuruskan di mahkamah.
“Saya masih menyambut Merdeka kerana saya lahir dan dibesarkan di negara ini, sekalipun tidak bernegara,” katanya.
“Bagaimanapun, sambutan Merdeka yang sebenarnya bagi saya hanya apabila saya menerima IC dan kebebasan sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau menceritakan pelbagai halangan yang perlu ditempuhinya apabila tidak mempunyai kerakyatan di Malaysia.
“Saya tak dapat daftar mengundi dan tiada akaun bank peribadi. Apabila saya perlu ke mana-mana, saya perlu harap orang lain untuk hantar saya kerana saya tak boleh dapatkan lesen memandu.
“Dari segi penjagaan kesihatan pun, saya perlu bayar lima hingga 10 kali ganda lebih untuk dapatkan rawatan. Ini tak sepatutnya dilalui sesiapa,” katanya.
Beliau juga sukar mendapatkan pekerjaan kerana majikan hanya ingin mengambil pekerja dengan kerakyatan Malaysia, katanya.
Tambahnya, tidak masuk akal individu tidak bernegara terpaksa menerima akibat atas sesuatu yang bukan dalam kawalan mereka.
Beliau menggesa kerajaan agar membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi individu sepertinya.
“Beri kami peluang untuk menyumbang kepada negara,” katanya.
“Bagaimana kami hendak buktikan kami boleh (menyumbang) jika negara ini menolak kami?”
Sekalipun begitu, Nalvin menggesa rakyat Malaysia agar menghargai pahlawan yang membantu negara mencapai kemerdekaan, sambil mengingatkan betapa beruntungnya mereka menjadi rakyat Malaysia.
Katanya, rakyat Malaysia sepatutnya menggunakan peluang sebaik-baiknya dan menyumbang ke arah kemajuan negara.
“Saya ingin beritahu semua individu tidak bernegara bahawa mereka tidak bersendirian. Jangan putus asa, keluar dari zon selesa anda, jangan takut dan berjuanglah untuk hak anda. Tiada yang mustahil.
“Jangan biarkan apa-apa menghalang anda,” katanya.