Datuk didakwa dalang kartel projek kerajaan hadapi 69 tuduhan palsu dokumen

Datuk didakwa dalang kartel projek kerajaan hadapi 69 tuduhan palsu dokumen

Adly Kamarudin, 47, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memalsukan 69 dokumen pelbagai projek bagi tujuan menipu JKR.

Hakim membenarkan jaminan RM500,000 itu dilangsaikan sehingga 11 pagi esok kerana prosiding membacakan pertuduhan hari ini mengambil masa lama dan penjamin tertuduh tidak mempunyai masa mencukupi melakukan transaksi. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk yang dikaitkan sebagai dalang sindiket kartel penipuan projek kerajaan bernilai RM3.8 bilion, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 69 pertuduhan berkaitan pemalsuan dokumen.

Adly Kamarudin, 47, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan hakim Rozilah Salleh.

Mengikut semua pertuduhan, Adly didakwa bersubahat memalsukan 69 dokumen pelbagai projek bagi tujuan menipu Jabatan Kerja Raya (JKR).

Projek itu termasuk projek jalan, pembinaan kolej dan penghawa dingin di beberapa universiti awam, bangunan hospital, rumah kakitangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) serta pemasangan mekanikal di kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kuala Lumpur, Selangor dan Bentong di Pahang.

Adly dituduh melakukan perbuatan tersebut sekitar Jun 2019 hingga Sept 2020 di sebuah rumah banglo di Bandar Baru Bangi, mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Gharib menawarkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin, serta tertuduh perlu melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM berhampiran dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Md Yunos Shariff yang mewakili tertuduh tidak membantah dengan jumlah yang ditawarkan itu.

Mahkamah menetapkan jumlah serta syarat tambahan sama dan membenarkan wang ikat jamin tersebut dilangsaikan sehingga 11 pagi esok kerana prosiding membacakan pertuduhan hari ini mengambil masa lama dan penjamin tertuduh tidak mempunyai masa mencukupi untuk melakukan transaksi.

Sebutan semula kes ditetapkan 3 Nov ini.

Pada 7 April lalu, media melaporkan kegiatan tertuduh mengumpul kekayaan luar biasa dalam tujuh tahun terbongkar selepas SPRM menahannya pada 4 April serta membuat rampasan dan sitaan pelbagai aset, termasuk kenderaan mewah, wang tunai, kapal layar serta dua helikopter persendirian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.