Curi tabung masjid ketika jemaah solat, wanita dicekup

Curi tabung masjid ketika jemaah solat, wanita dicekup

Dalam kejadian Sabtu lalu suspek berusia 28 tahun terlebih dahulu datang ke Masjid Padang Pauh untuk mengambil barang makanan dari 'Food Bank' masjid berkenan.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Saifudin Aslin Abbas, berkata tabung masjid yang dicuri dijumpai di dalam tandas pasar Beseri.
PADANG BESAR:
Polis menahan seorang wanita yang disyaki mencuri tabung masjid ketika jemaah lain menunaikan solat Isyak, tiga hari lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Saifudin Aslin Abbas, berkata dalam kejadian Sabtu lalu suspek berusia 28 tahun itu terlebih dahulu datang ke Masjid Padang Pauh untuk mengambil barang makanan dari “Food Bank” masjid berkenaan.

Beliau berkata, suspek kemudian datang sekali lagi untuk mencuri tabung masjid ketika jemaah lain sedang menunaikan solat Isyak, dan polis berjaya mengesan perbuatan suspek menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Suspek ditangkap di rumahnya di Arau pada 9.15 malam Ahad,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, tabung masjid yang dicuri dijumpai di dalam tandas pasar Beseri dan suspek membuat pengakuan bahawa dia menggunakan wang itu untuk mengisi minyak motosikal, membeli makanan dan menambah nilai telefon bimbit.

Saifudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.