Uncle Ting Tong tebar roti peraga pakaian Jalur Gemilang, dalami cinta pada negara ketika Covid-19

Uncle Ting Tong tebar roti peraga pakaian Jalur Gemilang, dalami cinta pada negara ketika Covid-19

Lantaran pergerakan yang terbatas kerana PKP, badut terkenal Roslee Yusof membuat keputusan menebar roti canai sambil memakai pakaian bercorak Jalur Gemilang.

Roslee Yusof @ Uncle Ting Tong bersama pelanggan di gerai roti canainya. (Gambar Roslee Yusof)
PETALING JAYA:
Lazimnya setiap kali tiba Bulan Kebangsaan, pelbagai ragam orang dapat dilihat dalam menzahirkan semangat patriotik.

Tidak ketinggalan “Uncle Ting Tong”, yang dulu terkenal dengan aksi badut di jalanan. Tahun ini beliau tampil dengan aksi berbeza – mengenakan pakaian bercorak Jalur Gemilang sambil menebar roti canai di gerainya setiap pagi selama seminggu sempena sambutan kemerdekaan.

“Saya akan memakai pakaian berkaitan Jalur Gemilang atau semangat cintakan negara setiap hari selama seminggu bermula 29 Ogos,” kata Uncle Ting Tong, atau nama sebenar Roslee Yusof, kepada FMT. Beliau berniaga di rumah pangsa Flora Damansara pada waktu pagi dan Uptown Kota Damansara pada sebelah petang.

Beliau mengenakan pakaian Jalur Gemilang kerana rindu beraksi dan menghiburkan orang ramai. Sejak dua tahun ini, Uncle Ting Tong tidak dapat turun ke jalanan pada 31 Ogos akibat Covid-19.

“Tahun ini kali pertama saya pakai baju Jalur Gemilang sambil jual roti canai. Sebelum ini tiap-tiap tahun pada pagi 31 Ogos saya akan turun ke Dataran Merdeka untuk beraksi sebagai badut bagi menghiburkan orang ramai, tapi sejak tahun lepas tidak ada sambutan beramai-ramai jadi saya tak boleh turun.

“Sebab Covid-19 belum reda jadi saya pakai ‘baju Merdeka’ ini sambil tebar roti canai. Kebetulan sekarang saya berniaga roti jadi saya ambil kesempatan meriahkan suasana dengan cara ini,” katanya.

Suatu masa dulu…aksi Roslee bersama anak bongsunya, “Ping Pong” menghiburkan orang ramai di ibu negara. (Gambar Roslee Yusof)

Katanya, orang ramai terhibur dengan gelagat beliau menebar roti canai dengan pakaian Jalur Gemilang.

“Bila dapat hiburkan orang ramai saya rasa puas. Tujuan saya buat aksi ini juga untuk mengingatkan rakyat akan bulan kemerdekaan dan memeriahkan suasana sambutan tahun ini, memandangkan Covid-19 orang tidak boleh sambut secara normal.

Uncle Ting Tong berharap aksi ini akan membantu orang ramai mendalami perasaan cinta pada negara, lebih-lebih lagi ketika Malaysia sedang bergelut wabak Covid-19.

Kisah Roslee pernah dilaporkan FMT tahun lalu. Beliau meninggalkan kerja bergaji tetapnya untuk menjadi penghibur kerana didorong minat. Roslee mengambil keputusan untuk menjadi badut sepenuh masa selepas tiga anaknya didapati menghidap talasemia – penyakit sel darah merah yang menghalang badan menghasilkan darah mencukupi.

Namun wabak yang melanda negara sejak tahun lalu membataskan pergerakannya, lantas Roslee membuat keputusan untuk menebar roti canai bersama anak-anaknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.