SPRM pandang serius kegiatan rasuah doktor untuk dapat sijil vaksinasi

SPRM pandang serius kegiatan rasuah doktor untuk dapat sijil vaksinasi

Ketua Pesuruhjaya SPRM berkata perbuatan itu bukan saja membabitkan isu rasuah, malah menjejaskan reputasi profesion pengamal perubatan.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sebelum ini mendakwa ada pihak cuba merasuah doktor bagi mendapatkan sijil vaksinasi tanpa menerima suntikan vaksin.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius dakwaan orang ramai berkaitan kegiatan rasuah doktor atau mana-mana pihak bagi mendapatkan sijil vaksinasi tanpa menerima suntikan vaksin.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, perbuatan itu bukan saja membabitkan isu rasuah, malah menjejaskan reputasi profesion pengamal perubatan sekali gus mencalarkan imej mereka sekiranya benar-benar berlaku.

Menurutnya, setakat ini, SPRM belum menerima sebarang aduan berkaitan isu berkenaan namun akan menyiasat dan melakukan risikan ke lokasi yang disyaki melakukan perbuatan penyelewengan itu.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku itu boleh menghubungi SPRM di talian hotline 1-800-88-6000 atau portal aduan rasuah di portaladuan.sprm.gov.my,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyuarakan kebimbangan terhadap laporan bahawa ada individu cuba merasuah doktor bagi mendapatkan sijil vaksinasi palsu tanpa menerima sebarang suntikan vaksin.

Presidennya Dr Subramaniam Muniandy mengegsa polis dan SPRM menyiasat perkara itu serta mendakwa mereka yang didapati terlibat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.