
Yang di-Pertuan Agong yang mengenakan seragam tentera darat, menaiki bot disediakan jabatan bomba dan penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang pada 4.40 petang, ketika hujan renyai sebelum bertukar lebat kira-kira 10 minit dalam operasi SAR Mohamad Azrin Mohamad Isa.
Operasi itu berlangsung kira-kira setengah jam sebelum terpaksa ditangguhkan ekoran cuaca semakin buruk, lapor Bernama.
Terdahulu, Sultan Abdullah, yang berangkat tiba di lokasi SAR pada 3.45 petang, turut berkenan mendengar sembah taklimat operasi oleh Wan Mohammad Zaidi selain mencemar duli bertanya khabar kepada isteri mangsa, Nur Aqila Syafiqa Safuan, 23, yang tiba di lokasi pada kira-kira 5 petang.
Mohamad Azrin, 25, dari Sungai Petani, Kedah, dilaporkan hilang pada 4.40 petang Ahad semasa menjalani latihan penyusupan menyeberangi Sungai Pahang dari Kampung Batu Bor ke Kampung Bohor Baru, yang merupakan sebahagian daripada modul eksesais itu.
Mangsa, anggota tinjau daripada Kompeni PANDURA, dikatakan tenggelam semasa hampir tiba ke tebing sungai dan cubaan rakannya untuk menarik Mohamad Azrin gagal, sebelum bapa kepada seorang anak perempuan berusia sembilan bulan itu hilang daripada pandangan.