
Presidennya, Michael Kang, berkata sekiranya cadangan itu diterima kerajaan, ia diramal mengganggu gugat operasi perniagaan, selain menambah kos tambahan, sekali gus menjejaskan pemulihan semula perniagaan.
“Kami mengakui pelaksanaan GST adalah sistem percukaian lebih cekap berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST), bagaimanapun masa pelaksanaan untuk memperkenalkan semula GST langsung tidak bersesuaian mengambil kira pemulihan perniagaan tidak akan berjalan sepenuhnya pada 2022.
“Kita perlu belajar daripada pengalaman ketika pelaksanaan GST pada 2015. Kerajaan sepatutnya mempertimbang pelaksanaan GST ketika ekonomi kita mula pulih, mungkin pada 2023 atau 2024.
“Jika GST mahu dilaksanakan juga, kita mencadangkan kadar cukai berada pada lingkungan 3%, berbanding 4% seperti dicadangkan beberapa pihak,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Naib Presidennya, Chin Chee Seong, berkata kaji selidik impak perniagaan dan survival PKS di bawah pelan pemulihan negara (PPN) dijalankan pada 20 Ogos lalu, mendapati 25% PKS tidak meneruskan operasi perniagaan; 54% sama ada menutup sementara atau menutup terus operasi; manakala 45% berhasrat penutupan sementara atau menutup sepenuhnya sekiranya operasi perniagaan tidak dibuka semula segera.
“Selain itu, 58% PKS bercadang memberhentikan sekurang-kurangnya 30% pekerja sekiranya perniagaan tidak dibenarkan beroperasi di bawah PPN dengan 48% bersetuju terhadap keputusan kerajaan melonggarkan sekatan kepada individu lengkap divaksin,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan prestasi syarikat bagi tempoh 2020 berbanding 2019, hanya 4% sahaja PKS merekodkan peningkatan, 8% PKS prestasi tidak berubah, manakala 88% PKS menunjukkan penurunan prestasi.
“Bagaimanapun, mereka berpandangan program subsidi upah adalah program paling bermanfaat di bawah Program Pemulih 2021,” katanya.
Dalam kaji selidik itu juga memberi penunjuk kebanyakan PKS berada dalam peringkat paling teruk terjejas dan berisiko menutup operasi sekiranya ekonomi masih ditutup.
“Kami menjangkakan 200,000 lagi PKS akan menutup sementara atau menutup terus operasi mereka menjelang penghujung Oktober ini,” katanya.
Persatuan itu turut mencadangkan kerajaan meneroka lebih banyak bantuan kepada PKS seperti pengecualian cukai pendapatan 2021 termasuk yuran lesen perniagaan; penambahan tiga bulan lagi moratorium bersama pengecualian faedah; 50% subsidi bagi kadar sewa runcit; 50% subsidi elektrik kepada syarikat terjejas dan tambahan tiga bulan lanjutan program subsidi upah.