DUN tolak tapi hutan masih dinyahwarta, Anwar tuntut penjelasan MB S’gor esok

DUN tolak tapi hutan masih dinyahwarta, Anwar tuntut penjelasan MB S’gor esok

Keputusan penyahwartaan hutan simpan berkenaan belum dimaklumkan kepada pimpinan PKR.

Presiden PKR Anwar Ibrahim mahu Amirudin Shari memberi penjelasan tuntas berkaitan tindakan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara dalam pertemuan bersama PKR, esok.
PETALING JAYA:
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari diminta memberi penjelasan terperinci berhubung tindakan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU), kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga ketua pembangkang, berkata Amirudin perlu melakukan demikian dalam pertemuan bersama pimpinan parti, esok.

“Saya meneliti laporan dan aduan berkenaan tindakan kerajaan Selangor yang telah melakukan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU), pada bulan Mei yang lalu.

“Saya juga turut mengambil maklum bahawa dewan undangan negeri Selangor telah menolak cadangan tersebut. Ingin ditegaskan keputusan yang dibuat ini masih belum dimaklumkan kepada pimpinan parti,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, malah pimpinan PKR sejak tahun lalu telah memaklumkan kepada Menteri Besar untuk membatalkan perkara berkenaan.

Semalam, Exco Alam Sekitar, Hee Loy Sian, menyatakan kerajaan Selangor bersetuju menyahwartakan 536.7 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara untuk dibangunkan.

Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Exco pada 5 Mei lalu berdasarkan Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984.

Hutan Simpan Kuala Langat Utara yang diwartakan pada 13 Mei 1927, terletak di mukim Tanjung 12, daerah Kuala Langat mula menjadi perhatian umum susulan notis penyiasatan awam di bawah Seksyen 11 Akta Perhutanan Negara Enakmen (Pemakaian) 1985 (Subkaedah 7(2)) oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor pada awal tahun lalu.

Malah usaha untuk membangunkan tanah kawasan terbabit dibantah hebat badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar dan masyarakat Orang Asli.

Hari ini, kumpulan penyokong Anwar Ibrahim, Otai Reformis dan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Alam Sekitar (COEN) melahirkan rasa terkejut dan kecewa dengan keputusan kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang telah bersetuju menyahwartakan 536.7 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara, untuk dibangunkan.

Setiausahanya, Abdul Razak Ismail berkata kelulusan itu seolah-olah kerajaan negeri tidak mengambil serius bantahan lebih 50,000 rakyat termasuk masyarakat tempatan, Orang Asli dan NGO alam sekitar.

Mereka juga kesal apabila keputusan yang dibuat sidang Dewan Negeri November tahun lalu untuk mempertahankan hutan simpan itu dilanggar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.