Lelaki mati di lantai hospital, apa tindakan KJ, soal Ramasamy

Lelaki mati di lantai hospital, apa tindakan KJ, soal Ramasamy

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang turut mendesak peletakan jawatan Pengarah Kesihatan Negeri Kedah berhubung video yang tular menunjukkan pesakit Covid-19 cuba minta bantuan.

Klip video berdurasi 38 saat dikongsikan di media sosial menunjukkan pesakit itu cuba memaut pada katil sebelum rebah di wad hospital.
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy menyoal apa tindakan yang bakal diambil Menteri Kesihatan baharu, Khairy Jamaluddin, dalam kes melibatkan kematian seorang pesakit Covid-19 di wad Hospital Lama Sungai Petani ketika cuba mendapat bantuan kakitangan perubatan.

Dalam hantaran Facebook, pemimpin DAP itu menyoal sama ada Khairy akan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab kerana membiarkan lelaki itu mati, atau jika kematian itu akan menjadi sekadar “satu lagi angka” dalam kematian harian akibat Covid-19.

Ramasamy berkata, lelaki itu sepatutnya boleh diselamatkan jika ada kakitangan perubatan di wad Covid-19 berkenaan. Beliau turut menggesa supaya Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Dr Othman Warijo meletak jawatan.

Katanya, maklum balas Othman terhadap kejadian itu bersifat tergesa-gesa dan sekadar penafian bahawa kakitangan hospital tidak mengendahkan pesakit berkenaan.

“Tentu beberapa minit berlalu dalam masa dia jatuh dan bangun semula, tetapi di mana petugas ketika itu. Kenapa mereka tiada di situ, adakah kerana mereka telah memutuskan pesakit sudah tidak boleh diselamatkan?

“Jika Othman tidak boleh bertanggungjawab, perbuatan bermaruah adalah supaya beliau meletak jawatan. Kakitangan yang sepatutnya berada di situ juga wajar dipecat kerana gagal menjalankan tugas,” katanya.

Klip video berdurasi 38 saat itu tular di media sosial semalam menunjukkan pesakit yang melutut di lantai hospital cuba memaut katil untuk berdiri.

Video itu kemudian menunjukkan pesakit terbabit terbaring kaku dengan beg air kencing di sebelahnya, manakala seorang lagi pesakit dilihat cuba menghampiri dan memeriksanya.

Individu yang memuat naik video itu mendakwa pesakit Covid-19 berkenaan dibiarkan tanpa dipedulikan petugas wad sehingga disahkan meninggal dunia 40 minit kemudian.

Othman bagaimanapun menafikan petugas hospital lambat memberi bantuan, selain menegaskan jabatan itu sedang mengumpulkan maklumat mengenai kejadian itu, selain mengadakan perbincangan dengan kakitangan terlibat bagi melengkapkan siasatannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.