
Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, sebarang langkah untuk membuka semula sempadan perlu konsisten dengan strategi Covid-19 seluruh negara. Tambahnya, sasaran mencapai sifar kes Covid-19 bukan lagi satu kemungkinan pada masa ini.
Ahli Parlimen Gopeng itu berkata, kebanyakan negara tidak dapat melaksanakan dasar “sifar Covid-19”, termasuk Malaysia, terutama dengan kemunculan varian Delta.
“Strategi Covid-19 negara lebih kepada mengurangkan kesan Covid daripada menghapuskannya. Ini bermaksud menerima beberapa tahap penularan yang berterusan sambil melindungi populasi yang rentan dengan vaksinasi dan rawatan.
“Selepas populasi dewasa kebanyakannya divaksin, jumlah jangkitan yang serius dan kematian akan berkurang, seperti yang akan berlaku tidak lama lagi.
“Sekiranya kita membenarkan rakyat yang lengkap dos vaksin bergerak bebas, mereka juga patut dibenarkan bebas bergerak keluar dan masuk negara ini, kecuali dengan beberapa syarat kuarantin,” katanya kepada FMT.
Mengenai kebimbangan terhadap varian Covid-19 lain, Lee berkata, Delta adalah varian paling cepat menular dan membawa maut setakat ini dan sudah menjadi dominan di negara ini.
“Bagaimanapun, sekiranya ada varian baharu lebih bahaya, lebih mudah berjangkit atau kebal dengan vaksin, maka langkah kawalan yang sesuai terhadap pengembara yang datang dari puncanya adalah diperlukan, termasuk melarang (kemasukan mereka).
Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Dr Steven Chow juga menyokong cadangan itu, dengan menyatakan negara lain sudah mula melaksanakannya.
Chow berkata, sudah tiba masanya bagi pihak berkuasa menerima hakikat memandangkan jumlah kes Covid-19 yang masih tinggi menunjukkan “lockdown” sejak empat bulan lalu dan penutupan sempadan tidak menyumbang kepada pengurangan kes harian.
“Vaksinasi besar-besaran telah menurunkan kadar kes di unit rawatan rapi (ICU) dan kadar kes parah yang memerlukan rawatan di hospital. Ini adalah petanda baik.
“Program vaksinasi perlu diagihkan dan digiatkan di peringkat komuniti, seperti melalui pengamal perubatan awam (GP) dan klinik kesihatan, serta NGO perubatan yang dilibatkan dengan ‘outreach’ vaksinasi di kawasan pedalaman,” katanya kepada FMT.
Katanya, Malaysia perlu mencontohi negara lain yang telah membuka sempadannya dan menjalankan ujian saringan wajib semasa ketibaan diikuti dengan beberapa lagi saringan lanjut dalam tempoh inkubasi.
Tambah beliau, negara terbabit juga mempunyai sistem pengesanan kontak yang baik dan boleh dipercayai, yang juga boleh dilaksanakan negara ini.
Bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Ong Kian Ming sebelum ini berkata, Putrajaya perlu mempertimbangkan membuka semula sempadan antarabangsa kedua-dua hala untuk membantu sektor pelancongan pulih dengan cepat.