Bekas presiden Abim, Siddiq Fadzil meninggal dunia

Bekas presiden Abim, Siddiq Fadzil meninggal dunia

Siddiq Fadzil meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Bangi dekat sini pada 6.32 petang.

Berita kematian Siddiq Fadzil itu disahkan anaknya menerusi satu hantaran Facebook hari ini.
PETALING JAYA:
Bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Siddiq Fadzil meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Bangi dekat sini pada pukul 6.32 petang ini.

Berita duka itu disahkan oleh anak Allahyarham, Fadhlina Siddiq menerusi satu hantaran Facebook hari ini.

“Innalillahi wainnailaihi rojiun. Dengan berat hati, saya memaklumkan ayahanda kami telah pergi selamanya,” tulis Fadhlina.

Punca kematian tidak dinyatakan oleh Fadhlina dan hantaran tersebut hanya memaklumkan pemergian bapanya.

Sebelum ini, Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Annur di Bangi dan memerlukan bantuan alat pernafasan.

Selain menjadi Presiden ABIM ketiga, Siddiq, 74, tokoh pemimpin gerakan Islam itu juga pernah dilantik sebagai Presiden Kolej Dar al-Hikmah dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Allahyarham pernah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2018, Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Presiden Wadah Pencerdasan Umat (Wadah) yang pertama.

Selain pernah menerajui gerakan Islam, beliau pernah menjadi pemimpin gerakan belia dan sezaman dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.