94% daerah di seluruh negara jadi zon merah Covid-19

94% daerah di seluruh negara jadi zon merah Covid-19

Setakat hari ini, Tanjung Manis di Sarawak satu-satunya daerah zon hijau yang bebas Covid-19.

Sejumlah 149 daripada 159 daerah di Malaysia kini zon merah, setakat hari ini, menurut data pergerakan 14 hari taburan kes Covid-19 mengikut daerah.
PETALING JAYA:
Sebanyak 94% daerah di seluruh negara dikategorikan sebagai zon merah susulan peningkatan jumlah kes Covid-19, khususnya negeri di luar Lembah Klang.

Data pergerakan 14 hari taburan kes Covid-19 mengikut daerah oleh Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan, sejumlah 149 daripada keseluruhan 159 daerah di Malaysia kini zon merah, setakat hari ini.

Ini bermakna hanya 10 daerah saja di negara ini masih belum bertukar kepada zon merah, dengan daerah di semua negeri dan wilayah, kecuali Sarawak, sudah bertukar kepada zon merah.

Lebih membimbangkan, hanya satu daerah saja di Sarawak kini masih kekal zon hijau, iaitu bebas jangkitan Covid-19 iaitu Tanjung Manis, sekali gus 99% daerah di Malaysia sudah mencatatkan penularan wabak itu.

Data berkenaan turut menunjukkan 10 negeri mencatatkan peningkatan kes dalam tempoh 14 hari antara 18 Ogos hingga hari ini, manakala hanya enam negeri dan wilayah mencatatkan penurunan kes bagi tempoh sama.

Semua negeri dan wilayah yang merekodkan penurunan kes itu adalah yang mencatatkan jumlah populasi dewasa menerima dos lengkap vaksin melebihi 57% iaitu Labuan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan serta Melaka, lapor Berita Harian.

Negeri mencatat peningkatan kes dalam tempoh 14 hari lalu adalah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah.

Bagaimanapun, dua daripada 10 negeri yang mencatatkan peningkatan kes Covid-19, adalah juga negeri merekodkan jumlah penerima dos lengkap vaksin yang tinggi iaitu Sarawak (87% populasi dewasa) dan Perlis (66.1%).

Malah, kedua-dua negeri itu turut mencatatkan peningkatan tertinggi dengan lonjakan kes lebih 100% dalam tempoh berkenaan dengan Sarawak mencatat kenaikan 128.5% daripada 11,744 pada 18 Ogos kepada 26,846 hari ini.

Perlis pula mencatat lonjakan kes 101.7% daripada 338 kepada 682 kes bagi tempoh sama, disusuli Sabah dengan peningkatan kes sebanyak 73.2%, Pulau Pinang (51.8%), Johor (26.9%), Perak (21.3%), Kelantan (19.6%), Kedah (17.3%), Terengganu (9.6%) dan Pahang (7.2%).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.