Selangor tetap kadar berpatutan urus mayat bukan Islam Covid-19, kata Exco

Selangor tetap kadar berpatutan urus mayat bukan Islam Covid-19, kata Exco

Semua PBT di Selangor juga diarah untuk segera menyediakan tapak perkuburan khas atau krematorium di bawah pentadbiran masing-masing bagi mengurangkan kesesakan.

Ng Sze Han berkata, kerajaan negeri sudah mengarahkan semua PBT agar mengenal pasti lokasi sesuai dan meneliti perkara itu. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Kerajaan Selangor akan menetapkan satu kadar yang berpatutan bagi urusan pembakaran mayat bukan Islam yang meninggal dunia akibat Covid-19, kata exco Kerajaan Tempatan Negeri.

Ng Sze Han berkata, bagi mempercepat urusan pembakaran mayat mangsa Covid-19 bukan Islam di negeri ini, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) juga diarah untuk segera menyediakan tapak perkuburan khas atau krematorium di bawah pentadbiran masing-masing.

“Kerajaan negeri sudah arahkan semua PBT agar kenal pasti lokasi sesuai dan meneliti perkara itu serta merancang untuk mewujudkan pusat pembakaran mayat dalam rancangan Belanjawan 2022 akan datang.

“Ini termasuk menetapkan kadar yang berpatutan bagi urusan pembakaran mayat bukan Islam agar pemergian insan tersayang tidak membebankan ahli keluarga. Kita tidak mahu rakyat ‘tersedak’ untuk urus jenazah,” katanya pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Pada 27 Ogos, DUN Selangor diberitahu bahawa terdapat tiga permohonan pembinaan krematorium yang sudah mendapat kelulusan di dua kawasan pentadbiran PBT di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Selangor (LIMAS), Teng Chang Khim berkata, ia melibatkan pembinaan di kawasan Jeram dan ljok di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) manakala satu lagi di mukim Beranang di bawah Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Selangor kini mempunyai tujuh pusat krematorium, iaitu dua di kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), dua di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan masing-masing satu di Majlis Bandaraya Subang Jaya; Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Perbandaran Sepang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.