
Menteri Besar Amirudin Shari berkata, bagi merealisasikan hasrat negeri pintar itu, kerajaan negeri tidak boleh bergerak sendirian tanpa bantuan kerajaan pusat.
“Kita terbuka, ia selari dengan hasrat kita lagi-lagi Selangor nadi ekonomi dan penggerak negara. Kalau kita tak berkongsi, ia tidak akan membawa sebarang manfaat.
“Kita tidak boleh bekerja secara sendirian…kalau kita bekerja sendirian, ia tidak akan menghubungkan data-data itu. Kalau kita sebut ‘smart state’, kita akan sebut analisis data raya ataupun ‘big data analysis’, ia hanya mampu dicapai apabila kita mampu gabung data dan maklumat kita bersama,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Bagaimanapun perbincangan berhubung terma dan syarat perlu dibincangkan di peringkat awal bagi memastikan perkongsian data itu tertakluk kepada Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA).
“Kita tidak ada masalah.. kalau terbuka kita boleh bincang termanya, sudah pasti ada syarat tertentu kerana ia melibatkan data dan maklumat kerana kita tertakluk kepada PDPA,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Azmin Ali (Bersatu-Bukit Antarabangsa) yang mahu tahu adakah kerajaan negeri mempunyai perancangan untuk menyelaraskan inisiatif Smart Selangor dengan inisiatif MyDigital yang diterajui kerajaan pusat.
Terdahulu, Amirudin berkata, kesan pandemik Covid-19 mencetuskan revolusi pendigitalan yang lebih pantas berbanding sebelumnya.
“Kesan Covid-19, kita telah cepatkan proses digitalisasi dalam negeri dan negara. Kalau kita lihat dengan inisiatif yang bermula sejak 2016, semua menjadi lebih pantas.
“Kita dapat lihat jika sebelum ini, Program Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor (Sitex) kita hanya latih 100 individu untuk program membangunkan aplikasi dalam usaha mendigitalkan mereka yang terbabit dalam perniagaan. Kini dengan adanya e-bazar, kita mampu jemput lebih 20,000 peserta,” katanya.
Beliau menjawab soalan Edry Faizal Eddy Yusof (PH-Dusun Tua) yang mahu tahu perubahan hala tuju Smart Selangor selepas negeri itu terkesan dengan pandemik Covid-19.
MyDigital dilancarkan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dalam usaha memperkasakan rakyat bagi memperbaiki kehidupan mereka dalam setiap aspek, merangkumi idea dan pelan untuk meningkatkan literasi digital.
Ia bagi mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, menjadikan urusan perbankan dan kewangan lebih mudah serta teratur, selain memberikan akses pendidikan secara maya kepada anak-anak serta membawa kemudahan perubatan ke pekan terpencil.