
Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN) Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak yang mempengerusikan jawatankuasa khas siasatan itu berkata, ketika ini pihaknya sedang mengumpul maklumat berkaitan kejadian tersebut.
“Siasatan sedang berjalan….kita sedang kumpul semua dokumen dan laporan berkaitan yang ada di jabatan-jabatan kerajaan dan juga maklumat daripada orang ramai. Oleh itu, sesiapa ada maklumat yang khusus, boleh berhubung dengan UPEN dan kongsi maklumat tersebut.
“Kita siasat dari semua aspek termasuk dakwaan aktiviti menyedut pasir dan juga faktor semula jadi. Setakat ini jawatankuasa siasatan tidak mengekang daripada siasat satu sudut sahaja, kita masih terbuka dengan semua maklumat dan pandangan semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Program Kibar Jalur Gemilang di Jambatan Angkat (Drawbridge) di sini.
Krisis bekalan air kali pertama yang melibatkan 150,000 penduduk di daerah Kuala Nerus dan sebahagian Kuala Terengganu, berlaku selama 12 hari bermula 2 Ogos disebabkan paip bersaiz 1.2m pecah di dasar Sungai Terengganu, namun bekalan air bersih berjaya dipulihkan secara berperingkat pada 13 Ogos.
Bagaimanapun, pada 23 Ogos, paip yang sama pecah semula dan kerja baik pulih dijangka mengambil masa 20 hari. Ia dijangka siap pada 12 Sept depan kerana kerosakan yang lebih teruk berbanding kali pertama.
Mengulas lanjut, Ahmad Faisal berkata, jawatankuasa siasatan itu sudah bermesyuarat sebanyak tiga kali setakat ini.
“Jawatankuasa siasatan terdiri daripada 12 individu dari beberapa jabatan dan agensi seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Bekalan Air, Jabatan Pengairan dan Saliran, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd, dan Pejabat Daerah Kuala Terengganu,” katanya.